by

1.7 juta kenderaan guna PLUS

News Sources:

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.7 juta kenderaan akan mengunakan lebuh raya kendaliannya pada waktu puncak, sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu akan datang.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, jumlah itu adalah peningkatan sehingga 30 peratus berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

Beliau berkata, bagi menyuraikan trafik dan mengurangkan kesesakan, PLUS telah mengeluarkan jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi pelanggan yang melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan di antara 22 Disember ini hingga 19 Januari 2021.

“Pelanggan lebuh raya yang bercadang bercuti bagi meraikan perayaan tersebut atau pulang ke kampung dinasihatkan dapat merancang perjalanan lebih awal,” katanya dalam ke­nyataan semalam.

Azman berkata, berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pelanggan lebuh raya dari Lembah Klang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebih raya sebelum pukul 9 pagi.

Manakala, pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas pukul 12 te­ngah hari.

“Orang ramai dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum pukul 9 pagi.

“Kami amat menggalakkan orang ramai mengikuti jadual perjalanan yang disarankan untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, sekaligus mengurangkan kese­sakan,” ujarnya.

Menurut Azman, PLUS juga telah mengatur pelbagai strategi untuk menghadapi peningkatan trafik dengan meningkatkan operasi lebuh raya bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan selesa termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R).

“PLUS turut menasihatkan pelanggan supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-Wallet mereka mencukupi pada setiap masa. Terdapat kira-kira 13,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara bagi membolehkan pelanggan lebuh raya menambah nilai kad lebih awal,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed