by

1 juta pengguna e-LATiH – Utusan Digital

News Sources:

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia menjangkakan seramai satu juta pengguna platform agregator kemahiran dan pengetahuan terbesar dalam talian, e-LATiH, akhir Jun tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jumlah terbabit akan meningkat kepada dua juta pengguna menjelang akhir tahun ini, selepas seramai 5,240 rakyat Malaysia mendaftar dan mula memanfaatkan kursus dalam tempoh 24 jam sejak dilancarkan semalam.

Katanya, kejayaan platform yang dilancarkan secara percuma adalah kerja kuat agensinya iaitu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

“Rakyat Malaysia dilihat telah merebut peluang ini dan memanfaatkan pengetahuan tersebut dengan baik yang membuktikan mereka dapat menyesuaikan diri dan bersedia menerapkan teknologi dalam kebiasaan baharu.

“PSMB sudah diminta untuk memperbanyakkan kandungan dan dimuat naik ke platform itu setiap minggu selain penambahan kandungan dibuat dalam bahasa Malaysia dan bahasa lain pada akhir bulan ini supaya akan ada lebih daripada 1,000 kursus percuma yang tersedia untuk semua rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, menerusi platform e-LATiH, PSMB akan dapat memantau penggunaan serta mengetahui minat rakyat terhadap kursus latihan melalui carian kursus yang paling popular.

Katanya, ini membolehkan PSMB merancang dan menyediakan lebih banyak kursus yang mempunyai permintaan tinggi dan lebih bermanfaat untuk rakyat Malaysia.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pihaknya akan menambah lebih banyak ciri-ciri lain termasuk menghubungkan platform e-LATiH ke laman web pekerjaan dan laman UpskillMalaysia yang diselaraskan PSMB.

“Platform ini juga akan dibuka kepada penyedia latihan tempatan dan antarabangsa untuk menawarkan kursus berbayar pada kadar yang berpatutan secara dalam talian di bawah seksyen premium dalam masa yang terdekat ini,” katanya.

Tambahnya, pihak PSMB dalam usaha untuk memberikan sijil bertauliah dalam bentuk kelayakan mikro bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran atau menggunakan kelayakan ini untuk mencari pekerjaan baharu.

“Saya berharap pengajaran dan pembelajaran menerusi platform yang dilancarkan ini akan menjadi lebih mudah untuk diakses oleh seluruh rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada.

“Adalah menjadi harapan saya juga agar rakyat Malaysia akan terus mempersiapkan diri untuk masa hadapan dengan memilih kursus bersesuaian,” katanya.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed