by

1,048 individu hadir ke CAC buat penilaian Covid-19

News Sources:

PUTRAJAYA – Seramai 1,048 pesakit Covid-19 hadir ke Pusat Penilaian wabak itu (CAC) di Stadium Melawati, Shah Alam untuk melakukan penilaian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 923 dibenarkan keluar wad, 100 individu pula dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Lapan individu pula dirujuk ke Hospital Sungai Buloh serta 17 individu meneruskan Pengawasan dan Pemerhatian di rumah atau (HSO).

“Untuk pengawasan di rumah, pesakit dinilai menggunakan aplikasi MySejahtera jika terdapat sebarang simptom kita akan rujuk terus sama ada ke PKRC atau terus ke hospital,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19, di kementeriannya di sini, hari ini.

Noor Hisham memberitahu, CAC akan membuat penilaian terhadap pesakit yang positif Covid-19 sama ada ia sesuai atau tidak untuk dilaksanakan HSO.

“Jika individu berisiko rendah dan keadaan rumah yang sesuai mereka dibenarkan untuk kuarantin di rumah.

“Namun jika mereka berisiko tinggi dan berada pada kategori dua akan ditempatkan di PKRC. Jadi kita harap CAC akan membantu kita,” tambahnya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjangkakan lebih 1,300 pesakit Covid-19 membuat temu janji untuk penilaian di CAC berkenaan.

Stadium itu akan menggantikan CAC PKD Petaling di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) SS15 sebelum ini dan dianggarkan boleh memuatkan antara seramai 1,000 hingga 1,500 pesakit. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed