by

11 ditahan terlibat sindiket pelaburan palsu

News Sources:

JOHOR BAHRU: Polis menahan seramai sembilan lelaki warga tempatan dan dua wanita warga Indonesia kerana dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan (bitcoin) di sekitar bandar raya ini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Mohd. Sulaiman Ibrahim berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 28 tahun.

Menurut beliau, mereka ditahan ketika serbuan dijalankan terhadap sebuah kediaman di Taman Daya, di sini.

“Berdasarkan soal siasat dijalankan, kesemua suspek mengaku menerima upah sebanyak RM3,000 sebulan selain komisen lapan peratus hasil penipuan dibuat.

“Modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan mencari mangsa melalui media sosial, berkawan dan mengajak mangsa membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut merampas sejumlah 54 telefon bimbit, 5 buah komputer riba dan satu modem Wifi.

“Sembilan suspek warga tempatan kini dikenakan reman selama dua hari bermula hari ini, manakala dua wanita warga Indonesia ditahan reman selama 14 hari.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1963,” ujarnya lanjut.

Sementara itu, Mohd. Sulaiman turut menasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan seperti ini dan jangan terpedaya dengan pulangan lumayan yang dijanjikan mana-mana pihak.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung sindiket pelaburan seperti ini boleh menghubungi talian 019-7773728 atau 07-2254422,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed