by

12 lelaki ditahan kerana memburu

News Sources:

IPOH: Kecekapan sepasukan anggota penjejak Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (BN 3 PGA) Senoi Praaq bersama penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya mematahkan kegiatan pemburu haram dalam satu operasi di Kawasan Hutan Simpan Ulu Muda di Kedah semalam.

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang melibatkan PGA dan Perhilitan itu berjaya menahan 12 orang lelaki tempatan dipercayai menceroboh ke kawasan larangan itu untuk berburu.

Pegawai Pemerintah BN 3 PGA Senoi Praaq, Superintenden Rosman Kasman berkata, satu pasukan diketuai Inspektor Ahmad Kamil Effendi Ahmed Kamarzaman dan Inspektor Azizul Huzaini Sejani melakukan rondaan susulan maklumat berhubung kegiatan memburu di kawasan tersebut.

Menurut beliau, dalam penjejakan kira-kira pukul 3.15 pagi itu, anggotanya berjaya menemui kesan pemburu haram setelah menjumpai sebuah kenderaan pacuan empat roda dan beberapa buah motosikal yang disembunyikan di dalam kawasan hutan tersebut.

“Setelah mendekati kawasan tersebut kita menemui beberapa individu sedang tidur di dalam khemah lalu melakukan kepungan dan mengejutkan mereka sebelum pihak Perhilitan membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui seekor pelanduk yang telah mati, seekor pelanduk hidup, dua unit alat perhubungan, satu unit peranti sistem penentu kedudukan global (GPS) jenis Garmin 62 dan satu unit gergaji rantai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Turut dirampas ialah dua laras senapang patah dan 22 butir peluru manakala nilai kesemua rampasan berjumlah RM25,000.

Kesemua lelaki tersebut juga gagal mengemukakan dokumen pemilikan sah ke atas hidupan liar semasa ditemui.

Rosman berkata, hasil soal-siasat salah seorang lelaki yang ditahan itu mengaku telah menembak dan menyimpan pelanduk berkenaan.

“Kesemua barang kes dirampas dan dibawa balik ke Pejabat Perhilitan Daerah Sik, Kedah untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1)(a) dan Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum denda sehingga RM50,000 dan RM100,000 serta penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.- UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed