by

13 individu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan

News Sources:

JOHOR BAHRU: Keseronokan 13 individu yang terlibat berlumba kereta terbantut selepas ditahan polis dalam satu operasi di Jalan Mutiara Emas 5, Taman Mount Austin semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, dalam Operasi Samseng Jalanan (Lumba Kereta) pada pukul 11 malam itu telah berjaya menahan kesemua 13 suspek berusia 21 hingga 33 tahun. 

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan selama dua minggu, terdapat aktiviti samseng jalanan dan lumba kereta dengan melakukan aksi bahaya di jalan awam sehingga mendatangkan bahaya dan kacau ganggu kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Dipercayai kegiatan lumba kereta itu dipercayai aktif sejak awal bulan ini. Operasi yang dijalankan berjaya menahan 13 lelaki yang didapati berlumba selain menyita 13 buah kereta pelbagai jenis.

“Sebanyak 11 saman bagi kesalahan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi dan ubah suai ekzos telah dikeluarkan terhadap semua yang ditahan semasa operasi djalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd. Padzli berkata, ujian air kencing juga dijalankan ke atas semua yang terlibat dan keputusan didapati negatif dan kesemua pemandu ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, lokasi berkenaan merupakan lokasi panas bagi kumpulan kereta yang melakukan aksi itu melibatkan pelbagai jenis kereta. 

“Setiap aksi akan melibatkan dua buah kereta dalam satu masa di persimpangan dan bulatan di Jalan Mutiara Emas 5, Taman Mount Austin. 

“Polis pernah membuat tangkapan bagi kesalahan lumba kereta drag ini pada September lalu. Setelah beberapa bulan menyepi, aktiviti ini kembali aktif semula,” katanya.

Semua yang ditahan akan disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kenderaan yang telah disita bagi siasatan lanjut di bawah seksyen yang sama dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang melanggar peraturan lalu lintas dan sekiranya terdapat maklumat berkaitan lumba haram hendaklah disalurkan kepada pihak polis. 

“Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu atau penunggang yang terlibat dengan lumba haram,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed