by

150,000 isi rumah bakal nikmati manfaat SAVE 2.0

News Sources:

PUTRAJAYA: Kira-kira 150,000 isi rumah di seluruh negara bakal menikmati manfaat Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) 2.0 yang bermula bulan ini dengan peruntukan berjumlah RM30 juta.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, orang awam yang sudah mendapatkan e-rebat sebanyak RM200 bagi program itu sudah boleh membuat pembelian alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga mulai 1 Januari lalu.

Beliau berkata, bagi pembelian barangan secara dalam talian, permohonan e-rebat melalui Shopee Malaysia juga dibuka sejak 1 Januari lalu.

“Manakala e-rebat melalui pembelian secara fizikal boleh dinikmati mulai pada hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program SAVE 2.0 di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata, Program SAVE 2.0 menyediakan pemberian e-rebat RM200 kepada isi rumah yang membeli alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga bertaraf empat atau lima bintang buatan tempatan atau yang dikilangkan dan mendapat persijilan SIRIM atau setara di Malaysia.

Beliau berkata, rebat itu terhad kepada satu akaun sahaja bagi setiap pembelian penyaman udara atau peti sejuk dalam tahun ini atau sehingga kuota habis, yang mana terdahulu.

Menurutnya, hanya warganegara Malaysia yang juga pemilik akaun elektrik tarif domestik berdaftar dengan syarikat-syarikat utiliti (TNB, SESB, SEB dan NUR Power) layak memohon.

“Pengguna boleh memohon dan mendapatkan e-rebat melalui dua kaedah iaitu dengan membawa bil elektrik terkini dan membuat pembelian secara fizikal di kedai-kedai elektrik atau pasar raya berdaftar di bawah Program SAVE 2.0 atau memohon e-rebat dan membuat pembelian secara atas talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf,” katanya.

Katanya, program itu menyediakan peruntukan berjumlah RM30 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2021 yang lalu.

Insentif e-rebat bagi pembelian peralatan cekap tenaga ini bertujuan menggalakkan pengguna mengamalkan amalan cekap tenaga sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, kerajaan menyasarkan penjimatan tenaga bersamaan dengan RM22.26 juta serta pengurangan pelepasan karbon sebanyak 39,164 tan bagi setiap tahun atau 56,430 bilangan anak pokok yang perlu ditanam selama 10 tahun untuk menyerap karbon tersebut.

Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, cara permohonan e-rebat, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model kelengkapan elektrik cekap tenaga dibawah Program SAVE 2.0 boleh didapati di pautan www.saveenergy.gov.my. atau melayari microsite yang disediakan di platform e-dagang.

Sebelum membuat pembelian, pengguna disaran merujuk panduan senarai kelengkapan elektrik dan harga rujukan (Recommended Purchase Price-RPP) melalui laman sesawang rasmi serta membuat perbandingan harga bagi mendapatkan harga terbaik dan kos efektif. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed