by

18 perniagaan runcit dibenar beroperasi semula

News Sources:

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini membenarkan baki 18 sektor perniagaan peruncitan yang ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beroperasi semula berkuatkuasa esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kelangsungan ekonomi khususnya kepada para peniaga kecil.

“Sidang Khas MKN semalam bersetuju untuk membuka baki keseluruhan sektor perniagaan peruncitan, antaranya kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai kasut, kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga/ nurseri, kedai kraftangan dan cenderahati; kedai antik serta kedai alat permainan.

“Turut dibenarkan beroperasi ialah kedai permaidani, kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif; kedai outdoor; kedai peralatan sukan; barangan rumah dan peralatan dapur; kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi; kedai tembakau; kedai aksesori kenderaan, restoran (dine-in) serta Ar-Rahnu,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga berkata, pihaknya mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi pembukaan kesemua 18 sektor perniagaan peruncitan itu.

“Proses nyah kuman dan pembersihan dilaksanakan tiga kali sehari dalam tempoh operasi dan mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka semasa berada di dalam premis.

“Pelanggan dengan suhu 37.5ºC dan ke atas tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam premis, cecair nyah kuman disediakan di pintu masuk dan dipastikan penggunaannya sebelum masuk ke premis.

“Memastikan kawalan keluar masuk pelanggan ke premis, memastikan kehadiran pekerja dan pelanggan direkodkan secara manual atau aplikasi MySejahtera, penjarakan fizikal satu meter semasa berada di premis, menghadkan bilangan pelanggan berada di premis pada satu-satu masa dan menggalakkan pembayaran dibuat secara elektronik,” katanya.

Bagi kedai pakaian, pemilik premis perlu menyediakan sarung tangan pakai buang kepada pelanggan untuk memilih pakaian.

“Bagi kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, hanya aktiviti jual beli sahaja dibenarkan. Rundingan secara bersemuka serta penggunaan penguji kosmetik tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi, penggunaan studio hanya melibatkan seorang pelanggan dan jurugambar sahaja.

“Penggunaan studio penggambaran kecuali perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen adalah tidak dibenarkan.” katanya.

Katanya lagi, senarai awal sektor perniagaan peruncitan yang telah dibenarkan beroperasi boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan MKN.

“Sekiranya ada perubahan dari semasa ke semasa, senarai akan diumumkan oleh KPDNHEP,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed