by

20 tan pakaian dan barangan keperluan dikumpul untuk Orang Asli

News Sources:

PONTIAN : Kira-kira 20 tan pakaian dan barangan keperluan berjaya dikumpul sempena Program Amal Jariah Bundle bagi membantu masyarakat Orang Asli di kawasan pendalaman Gerik, Perak dan Gua Musang, Kelantan.

Selain pakaian, sumbangan juga melibatkan al-Quran, telekung, tudung dan beg sekolah yang diagihkan kepada masyarakat Orang Asli kawasan berkenaan.

Menurut Ahli Dewan Negara, Datuk Isa Ab.Hamid, sebanyak 12 badan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu mengumpul barangan tersebut di dua lokasi iaitu Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Damansara, Selangor dan Dewan Serbaguna Majlis Daerah Pontian, Benut di sini.

“Barangan yang dikumpul ini akan dihantar ke lokasi terlibat dengan menggunakan kenderaan Jakoa pada minggu depan bagi membolehkan bantuan sampai dengan kadar segera.

“Pada kali ini barangan yang dihantar ini amat diperlukan memandangkan mereka tidak dapat keluar disebabkan masalah perhubungan dan ditambah pula dengan penularan Covid-19.

“Pada Mac tahun depan, sumbangan sama juga akan dihantar namun dalam bentuk makanan dan barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, telur, sardin, biskut dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Pontian di Benut di sini semalam.

Tambah Isa, sumbangan tersebut diharap dapat memberikan keselesaan kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pendalaman serta sukar untuk dihubungi untuk sampai ke kampung mereka.

Sementara itu, Pengarah Jakoa Negeri Perak, Hairulnizam Abd. Rahman berkata, terdapat 49 perkampungan Orang Asli di Hulu Perak yang melibatkan kira-kira 11,200 penduduk.

Katanya, suku kaum Orang Asli yang tinggal di kawasan itu ialah Jahai, Lanoh dan Kintak yang memerlukan perhatian dan sokongan daripada pelbagai pihak ketika ini.-UTUSAN ONLINE

habis





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed