by

25,039 saman dikeluarkan JPJ NS sepanjang 2020

News Sources:

SEREMBAN: Sebanyak 25,039 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang tahun lalu atas pelbagai kesalahan selain 19,763 buah kenderaan dikenakan tindakan hasil pemeriksaan terhadap 49,245 buah kenderaan sepanjang tahun lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan berkata, daripada keseluruhan pemeriksaan kenderaan yang dijalankan tersebut, pihaknya juga telah berjaya mengesan sebanyak 35,400 kesalahan dengan kategori pelesenan kenderaan menjadi penyumbang tertinggi yang diambil tindakan iaitu sebanyak 9,855 kes.

“Ia diikuti kategori pelesenan pemandu sebanyak 9,107 kes kesalahan, kesalahan teknikal sebanyak 6,620 kes dan 3,364 kes untuk kesalahan lebih muatan,” katanya dalam sidang akhbar Op Ambang Tahun Baharu 2021 di sini semalam.

Tambahnya, penguatkuasaan secara berfokus melalui Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) dan Unit Penguatkuasaan Lebuh Raya (UPLR) juga mengesan sebanyak 1,671 kesalahan melibatkan tujuh kesalahan utama.

“Daripada jumlah kesalahan tersebut, 589 daripadanya merupakan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar diikuti 351 kesalahan gagal mematuhi isyarat lampu merah dan 228 kesalahan tidak memakai topi keledar.

“Kesalahan menggunakan telefon bimbit pula mencatatkan 226 kesalahan, memotong di garisan kembar 199 kes, serta memandu di lorong kecemasan dan memotong barisan masing-masing sebanyak 44 dan 24 kes,” katanya.

Sementara itu, jelas Azrin, sejumlah 225 kenderaan telah diambil tindakan dan 405 kesalahan dicatatkan dalam Op Ambang Tahun Baharu 2021 semalam yang dijalankan di dua lokasi di negeri ini iaitu di Jalan Persiaran Senawang 1 dan Kilometer 1 Jalan Bahau-Juasseh di Jempol.

“Sebanyak 172 saman telah dikeluarkan, 30 kenderaan telah diarah periksa dan lapan buah kenderaan telah disita,” katanya yang turut memberitahu operasi khas tersebut turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed