by

3,000 hidupan laut temani makan malam

News Sources:

ISKANDAR PUTERI: Legoland Malaysia Resort menampilkan tarikan terbaharu di taman tema itu dengan memberi pengunjung bertuah merasai pengalaman makan malam yang mengujakan sambil dikelilingi hidupan laut di Sea Life Malaysia.

Pengarah Bahagian Legoland Malaysia Resort, C. S. Lim berkata, ini adalah yang pertama seumpamanya diadakan di negara ini iaitu pengunjung berpeluang menikmati keindahan pemandangan luar biasa hidupan laut ketika menikmati makan malam yang menyelerakan.

Katanya, pengunjung berpeluang melihat secara lebih dekat 13,000 hidupan daripada 120 spesies yang ditempatkan di 11 zon habitat yang berlainan di dalam kawasan Sea Life Malaysia itu.

“Apa yang kita buat ialah menukarkan Sea Life Malaysia ini menjadi tempat makan malam selepas tamat waktu operasi pada pukul 6 petang.

“Pengunjung bertuah akan dibawa melawat keseluruhan kawasan ini mengikut fasa sambil diberikan penerangan terperinci oleh pakar terhadap hidupan laut di kawasan ini yang secara tidak langsung dapat mendidik pengunjung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim memberitahu, pengalaman makan malam di Sea Life Malaysia akan dibuka kepada umum mulai awal bulan depan dan tempahan boleh dibuat menerusi laman sesawang Legoland Malaysia Resort.

Katanya, buat masa ini, pihaknya hanya mampu menyediakan tempat untuk 30 tetamu dalam satu masa kerana perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kami di Legoland Malaysia sentiasa mencari sesuatu yang unik dan berbeza buat pengunjung di sini bagi menambah pengetahuan mereka ketika meluangkan waktu berkualiti bersama keluarga semasa bercuti.

“Dengan memperkenalkan pengalaman baharu yang pertama di negara ini, kita berharap dapat memenuhi rasa ingin tahu dalam kalangan pengunjung terhadap hidupan laut serta meningkatkan kesedaran umum dalam soal kepentingan melindungi marin,” katanya.

Tambah beliau, lebih banyak tarikan baharu yang luar biasa menanti pengunjung selepas ini setelah berdepan tahun menyuramkan sepanjang 2020 ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Makan malam di Sea Life Malaysia bermula dari RM180 bagi dewasa dan RM90 buat kanak-kanak dan harga adalah berbeza mengikut tempat yang disediakan.- UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed