by

4,000 ekor ikan tilapia i-Sinar mati akibat pencemaran

News Sources:

TAMPIN: Tiga sahabat yang mengusahakan ternakan ikan tilapia berputih mata apabila 4,000 ekor ikan tersebut yang diternak di dalam kolam mati dipercayai berpunca daripada pencemaran sungai yang menjadi sumber air kolam tersebut.

Salah seorang daripada me­reka, Mohd. Fazrul Mohd. Saad, 47, berkata, hasil pertama ternakan ikan tilapia mereka boleh diraih kurang daripada 10 hari lagi namun ternakan mereka itu mati sedikit demi sedikit sejak awal minggu lalu.

Lebih menyedihkan, dia dan salah seorang lagi sahabatnya telah menggunakan wang program i-Sinar yang diperoleh sebagai modal untuk mengusahakan ternakan ikan tilapia berkenaan.

Menurut Mohd. Fazrul, mereka mula memasukkan anak benih ikan ke dalam kolam pada bulan Disember secara berperingkat-peringkat mengikut modal yang mereka ada.

“Secara keseluruhannya ka­mi sudahpun memasukkan sebanyak 4,800 anak benih ikan ke dalam kolam ini dan dijangkakan boleh membuahkan hasil sekurang-kurangnya sebanyak 2.5 tan bersamaan dengan RM25,000.

“Bagaimanapun, ikan ternakan kami mulai mati sedikit demi sedikit dipercayai akibat pencemaran air sungai ber­dekatan yang digunakan sebagai sumber air kolam ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Pondoi, Tampin, semalam.

Tambahnya, mereka ber­­tiga telah mengeluarkan ba­nyak modal bagi mengusa­ha­kan kembali tanah milik pen­duduk kampung yang ter­biar sebagai usaha mereka men­cari rezeki ketika ini.

Dia yang juga jurugambar majlis konvokesyen, selain menyelenggara kembali kolam sedia ada, modal banyak dikeluarkan mereka bagi membeli makanan ikan seperti palet dan azola, selain makanan tambahan bagi mempercepatkan lagi pembesaran ikan berkenaan.

“Secara keseluruhannya ham­pir RM8,000 juga modal yang digunakan bagi ternakan ikan ini, namun menyedihkan hasilnya hampir kesemua ikan mati.

“Walaupun hampa, kami ti­dak berputus asa namun kami harap agar pihak berkuasa dapat menyiasat punca ikan kami ini mati dan juga mengambil langkah sepatutnya jika benar ia berpunca daripada pencema­ran air sungai,” katanya.

Seorang lagi rakannya, Muhazam Mohamad, 48, berkata, dia juga berharap agar ada jalan penyelesaian diambil pihak berwajib bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang kembali.

“Buat masa ini, kerja-kerja membersihkan kolam sedang dilakukan dengan keseluruhan air kolam perlu dikeluarkan terlebih dahulu.

“Pihak Jabatan Perikanan juga telah hadir bagi mengambil sampel air kolam dan menjalankan siasatan,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed