by

46 anggota polis Johor dibuang kerja

News Sources:

JOHOR BAHRU: Polis Johor mencatatkan jumlah tertinggi yang mengambil tindakan pembuangan kerja iaitu membabitkan 46 anggota setelah didapati terlibat melakukan pelbagai kesalahan jenayah dan salah laku sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, langkah itu dibuat di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 setelah siasatan dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Katanya, jumlah itu dijangka bertambah setelah pihaknya mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan pegawai dan anggota polis negeri ini termasuk membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Sepanjang tahun ini, JIPS Johor telah membuka 230 kertas siasatan tatatertib yang membabitkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah dan dua pegawai awam dengan kes salah laku merupakan yang paling tinggi iaitu 154 kes dan diikuti 45 kes dadah.

“Sehingga kini terdapat 45 pegawai dan anggota yang ditahan kerja, manakala 46 orang dibuang kerja.

“Tindakan buang kerja dijangka akan bertambah memandangkan masih terdapat kes tatatertib dalam siasatan dan juga dalam perbicaraan mahkamah. Kalau positif dadah, memang tindakan pembuangan kerja akan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan memaklumkan, JIPS Johor telah mengesan empat balai dan satu bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini dengan anggotanya melebihi 30 peratus mempunyai masalah rekod integriti serta berpotensi menjadi masalah kepada balai dan cawangan berkenaan.

Katanya, jumlah keseluruhan anggota terlibat merangkumi 263 pegawai dan anggota dengan mereka perlu mengikut program MyLiabiliti yang melibatkan sesi kaunseling dan runding cara di bawah Bahagian Agama dan Kaunseling IPK Johor.

“Selain itu, pada tahun ini sahaja terdapat 54 tangkapan ke atas anggota setelah pihak JIPS Johor melakukan ujian saringan air kencing secara mengejut.

“Malah, kita berjaya menangkap satu anggota polis terlibat kes curi kenderaan, satu anggota melindungi warga asing, dua orang pula terlibat pemerasan orang awam manakala satu kes pemilikan daum ketum,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes penyeludupan dadah di lokap Balai Polis Kota Tinggi, Ayob berkata, pihaknya telah menahan empat anggota polis berusia antara 28 hingga 36 tahun pada 10 Disember lalu.

Katanya, mereka telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 manakala dua daripadanya disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Sebelum ini, seramai sembilan anggota polis dari IPD Kota Tinggi dicekup kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di dalam lokap balai terbabit. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed