by

5 keutamaan tahun 2021 pemulihan negara pasca Covid-19

News Sources:

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mempertingkat tahap kesihatan awam menerusi perolehan  bekalan vaksin Covid-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara antara lima keutamaan digariskan kerajaan tahun depan dalam satu strategi bersepadu pemulihan negara pasca Covid-19. 

Perdana Menteri berkata, keutamaan kedua adalah memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dengan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau berkata, ketiga adalah memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan manakala keutamaan keempat  menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat.

Jelas Perdana Menteri, keutamaan kelima adalah memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman. 

“2020 adalah tahun yang amat sukar dan mencabar namun saya percaya sebagai insan dan rakyat bumi bertuah Malaysia ini, masih banyak nikmat yang boleh kita syukuri. Justeru, marilah kita sama-sama mengembleng kekuatan dan kecekalan yang ditunjukkan sepanjang tahun 2020 untuk melangkah ke tahun baharu 2021 dengan semangat yang lebih kental. 

“Matlamat kita adalah melihat Malaysia yang lebih bersatu-padu, bebas dari ancaman Covid-19, rakyatnya makmur dan sejahtera, ekonominya pulih dan rancak berkembang serta namanya yang megah di persada antarabangsa. 

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus memartabat syiar Islam dengan memenuhi tuntutan Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta tanpa menafikan hak agama lain dalam keadaan negara sedang berhadapan pandemik,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan tahun baharu 2021 bertemakan ‘Bersemangat Melangkah ke Tahun Baharu 2021’, di sini malam ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan terus berikhtiar meningkatkan tahap kesihatan awam di negara ini berasaskan prinsip ‘mencegah adalah lebih baik daripada mengubati’ kerana pencegahan awal adalah penting dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan perlu terus dipatuhi, bersesuaian dengan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan. 

 Menurut Perdana Menteri, kerajaan Malaysia akan memastikan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat di negara ini secara percuma melalui Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan melalui tiga fasa bermula seawal Februari 2021. 

Menyentuh keutamaan kedua, kata Perdana Menteri, belanjawan terbesar dalam sejarah negara amat kritikal bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. 

Kata beliau, kerajaan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti bantuan tunai secara langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus untuk B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara untuk memastikan nasib golongan rentan termasuk B40, warga emas dan Orang Kurang Upaya sentiasa terbela.

“Ini termasuk dalam agenda besar pembasmian kemiskinan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama, yang akan terus dipertingkat oleh Kerajaan PN,” katanya.  

Kata Perdana Menteri, bergantung kepada situasi ekonomi semasa, kerajaan sedia mempertimbang suntikan fiskal strategik jika keadaan memerlukan sepertimana pakej rangsangan ekonomi sebelum ini demi meringankan beban rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan mereka. 

Selain itu, kata beliau, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), satu strategi komprehensif akan diumumkan pada awal tahun 2021 bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi negara dengan tumpuan kepada pemacu baharu ekonomi negara seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau. 

“Infrastruktur fizikal dan digital di bandar dan luar bandar akan dibina untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing serta dapat merebut peluang-peluang ekonomi baharu di peringkat global. 

“Selari dengan ini, kerajaan akan melancarkan Dasar Digital Negara pada suku pertama tahun 2021 dengan penumpuan khusus kepada pembangunan sistem rangkaian 5G,” katanya. 

Perdana Menteri berkata, situasi politik negara sepanjang tahun 2020 agak mencabar dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada keyakinan pelabur terhadap Malaysia. 

Oleh itu, katanya, persefahaman dalam kalangan rakan-rakan parti Kerajaan PN akan terus disemai dan dipupuk, manakala perbezaan akan diuruskan dengan teliti dan cermat. 

Namun, katanya, pimpinan politik yang lain diharapkan dapat menunjukkan sifat bertanggunggjawab dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan politik negara. 

Pada masa ini, beliau menyeru ketepikan soal politik dan bersatu demi memelihara kebajikan rakyat dan bersama mengharungi pandemik sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara. 

“Rata-rata rakyat mahukan semua ahli politik untuk menggembleng tenaga membantu rakyat dan tidak mencetuskan kemelut politik yang merugikan rakyat. 

“Jutaan rakyat telah terjejas dengan pandemik ini, maka adalah lebih baik jika kita pamerkan kematangan dalam berpolitik dan terus memahami keluh-kesah, dan mendengar denyut nadi kemahuan rakyat. 

“Saya percaya jika kita bekerja demi rakyat, mendahulukan rakyat, membela rakyat maka sudah tentu rakyat akan terus menyokong segala usaha kerajaan demi kebaikan bersama,” katanya.  

Perdana Menteri berkata, usaha memerangi rasuah dan menjunjung nilai ketelusan dan integriti akan diperhebat dengan sistem pelaksanaan kerajaan akan terus dipantau dan ditambah baik supaya rakyat mendapat apa yang dijanjikan. 

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang ingkar dan terus menyemai api kebencian antara kaum dan agama apatah lagi menghina institusi Raja Berperlembagaan di negara ini. 

“Lima keutamaan kerajaan pada tahun 2021 adalah selari dengan visi jangka panjang kerajaan seperti yang terangkum dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030),” katanya. – UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed