by

50 gabungan NGO, persatuan penduduk bantah penamatan PKPD asrama Top Glove

News Sources:

KLANG: Tindakan kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat Top Glove di Meru, di sini dibantah penduduk setempat.

Bantahan itu dibuat gabungan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk Jalan Teratai dan peniaga kecil dengan membuat laporan polis di Balai Polis Meru.

Mewakili penduduk,Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin (GMP), S. Hassan Kuthoos berkata, pihaknya kecewa dengan penamatan PKPD itu berikutan tiada jaminan keselamatan semua pekerja asing syarikat sarung tangan tersebut bebas pandemik Covid-19.

  “Selain itu, tiada jaminan daripada pengurusan Top Glove untuk memastikan semua pekerjanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan pihak berwajib.

 “Jumlah pekerja asing yang ramai di Meru dan penduduk setempat bimbang masih terdedah dengan penularan pandemik tersebut,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini petang ini.

  Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD di asrama pekerja Top Glove sejak 17 November lalu itu ditamatkan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan berikutan kes Covid-19 mencatatkan penurunan.

  Selepas 28 hari pelaksanaan PKPD itu, terdapat trend penurunan kes positif dan tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan.

  Sehingga kini, sebanyak 14 daripada 28 kilang yang ditutup dibenarkan beroperasi semula selepas semua pekerja disaring dan kilang disanitasi manakala baki 14 lagi dibuka secara berperingkat.

  Dalam pada itu, ujar Hassan, pihaknya menggesa semua agensi kerajaan turun padang untuk memberi penjelasan terperinci kepada warga Meru.

   “Agensi yang perlu memberi penjelasan antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Pejabat Daerah Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

  “Semua ketua agensi ini harus memberi kepastian atau jaminan keselamatan kepada penduduk setempat,” katanya.

  Tambahnya, penduduk berharap polis dapat menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu bagi mengelak penularan pandemik di kawasan tersebut. -UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed