by

67 pencawang TNB di Pahang, Johor ditutup akibat banjir

News Sources:

PETALING JAYA: Seramai 5,845 pengguna mengalami gangguan bekalan elektrik setelah 67 pencawang di Pahang dan Johor terpaksa ditutup akibat banjir.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat pukul 10 pagi hari ini (Isnin), 57 pencawang di Kuantan, Rompin, Maran, Jengka, Jerantut, Bentong, Raub dan Kuala Lipis di Pahang telah dihenti tugas demi keselamatan pengguna.

Katanya lagi, baki 10 pencawang lagi adalah di Johor melibatkan Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kluang dan Kota Tinggi.

“Penutupan 67 pencawang ini melibatkan 4,502 pengguna di Pahang dan 1,343 pengguna di Johor. Sementara itu, 18 pencawang di Johor dan tiga di Pahang menerima bekalan sementara daripada set janakuasa bergerak.

“Usaha menyambung bekalan sementara di Kuala Lipis dan Raub terganggu akibat keadaan banjir yang belum surut dan kejadian tanah runtuh yang menghalang laluan. TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan elektrik dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja,” katanya di sini hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Johor melonjak selepas seramai 5,818 mangsa daripada 1,540 buah keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di seluruh negeri itu, semalam (Ahad).

Di Pahang, seramai 2,838 mangsa banjir dipindahkan ke 64 PPS manakala di Terengganu pula, hujan lebat berterusan di beberapa kawasan semalam menyebabkan negeri itu kembali dilanda banjir untuk fasa kelima.

Sementara itu, paras air Empangan Sultan Abu Bakar (SAB) di Cameron Highlands, Pahang dilaporkan sudah kembali normal.

TNB memaklumkan, siren pertama telah dibunyikan secara putus-putus berserta lampu amaran kuning sejak pukul 4.43 petang, Ahad untuk memberi amaran kepada penduduk bahawa paras sedang meningkat.

“Walau bagaimanapun, paras terkini adalah normal dan di bawah paras limpahan terkawal (controlled spilling) dan siren putus-putus telah dihentikan pada 2.43 pagi, Isnin.

“Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air,” ujarnya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed