by

8 IPT dapat taraf 6 bintang

News Sources:

PUTRAJAYA: Universiti Malaya (UM) antara lapan institut pengajian tinggi (IPT) mencapai taraf enam bintang yang dinilai mengikut sistem Penarafan Bersepadu  Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) bagi tahun 2018/2019.

Selain UM, IPT lain yang mendapat taraf sama ialah Universiti Kebangsaan  Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia  (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP),  International Medical University (IMU) dan Monash University Malaysia. 

Ini diikuti oleh 30 IPT yang mendapat penarafan lima bintang, 30 IPT (empat bintang), 15 IPT (tiga bintang), dua IPT (dua bintang) dan hanya sebuah IPT mendapat penarafan satu bintang. 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penarafan IPT Malaysia tahun 2018/2019 turut menggunakan Sistem Penilaian Kualiti dan  Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST).  

Bagi penarafan MyQUEST pula, kata beliau, sebanyak 14 kolej swasta berjaya mencapai penarafan enam bintang iaitu Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej  Sunway (Kuala Lumpur), Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT), Kolej SEGi  Kota Damansara, Kolej Poly-Tech MARA Kuantan, Kolej SEGi Pulau Pinang dan Kolej  Antarabangsa Putra.

Selain itu ialah Kolej Equator, Kolej Despark, Kolej SEGi Sarawak, Kolej IBS,  Kolej Integrasi Perkembangan Kemahiran (IPK), Kolej Hafiz dan Institut Antarabangsa  Sains Mantin yang turut mendapat penarafan enam bintang. 

Menurut beliau, sebanyak 54 kolej mendapat penarafan lima bintang, 88 kolej mencapai  empat bintang, 40 kolej dengan tiga bintang dan 11 kolej diberi penarafan dua bintang. 

“Penarafan IPT 2018/2019 menunjukkan IPT melaksanakan penambahbaikan secara berterusan dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti dan berimpak tinggi  kepada pelajar.  

“Perkembangan ini juga memperlihatkan bahawa sektor pendidikan tinggi negara berada  pada landasan betul dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia  2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dengan memberi penekanan terhadap kualiti akademik,  kebertanggungjawaban dan prestasi setiap IPT di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini berkata, sebanyak 86 IPT menyertai penarafan SETARA bagi sesi ini, manakala 207 kolej swasta pula menyertai penarafan MyQUEST.

Katanya, penarafan SETARA dinilai melalui 38 indikator yang merangkumi empat fungsi teras  utama iaitu umum, pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan dan perkhidmatan.

Penarafan MyQUEST pula katanya, dinilai melalui 35 indikator merangkumi dimensi  input, proses dan output yang memberi penekanan kepada lima teras utama iaitu kualiti dan kepelbagaian pelajar, kelestarian sumber dan kewangan, sistem pengurusan kualiti, pengiktirafan program dan pengiktirafan graduan dan reputasi  institusi. 

“Penarafan enam bintang menunjukkan sesebuah IPT itu berada pada  tahap cemerlang dan mempunyai daya saing di peringkat antarabangsa manakala satu bintang menunjukkan IPT tersebut kurang berdaya saing dan tidak memenuhi kriteria  minimum. 

“Keputusan penuh bagi Penarafan IPT Malaysia tahun 2018/2019  boleh dilayari melalui portal http://jpt.mohe.gov.my/portal/,” katanya. 

Dalam pada itu, Noraini berkata, kementerian akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan dan pemantapan ke atas  SETARA dan MyQUEST selaras dengan perubahan persekitaran dan ekosistem  pendidikan tinggi negara. 

Penyesuaian tersebut, jelas beliau akan mengambil kira pembudayaan norma  baharu dalam sistem penyampaian pendidikan, penekanan kepada agenda pendigitalan, Teknologi Pendidikan berasaskan Revolusi Industri 4.0 dan kriteria lain yang relevan.  

“Penarafan seterusnya dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2022,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed