by

Abdul Latif dilepas tanpa dibebaskan tuduhan rasuah

News Sources:

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Abdul Latif Abdul Rahim daripada dua tuduhan bersubahat dengan adiknya, Datuk Seri Abdul
Azeez Abdul Rahim berhubung kes rasuah bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya, hampir empat tahun lalu.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian terhadap Abdul Latif, 63, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi membolehkan tertuduh dijadikan saksi pendakwaan dalam perbicaraan terhadap Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji.

Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed memberitahu pihak media, pihak pembelaan menyerahkan dua representasi kepada pihak pendakwaan tiga bulan lalu untuk menggugurkan pertuduhan.

Jelasnya, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mempertimbangkan representasi tersebut dan mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan hari ini.

Pada prosiding yang berlangsung di mahkamah terbuka itu, peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Abdul Latif membantah permohonan DNAA daripada pihak pendakwaan.

Ujar peguam bela, anak guamnya sepatutnya dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada pertuduhan tersebut, bukannya DNAA.

“Jika pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan, tertuduh patut diberi DNA, kerana ia tidak adil kerana anak guam saya beranggapan dia akan dituduh semula,” katanya.

Dalam pada itu Adam memberitahu, Mahkamah Tinggi turut menangguhkan perbicaraan kes dua beradik itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu permohonannya untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, didengar di Mahkamah Tinggi pada 23 Februari ini.

Dilaporkan, Abdul Azeez tidak hadir di mahkamah hari ini dan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakilinya mengemukakan sijil sakit bertarikh 5 hingga 11 Februari.

Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Pada 16 Januari 2019, Abdul Latif yang merupakan abang kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta.

Rasuah itu didakwa diterima daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd. mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed