by

ABS lindungi biodiversiti negara daripada ‘dirompak’

News Sources:

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sedia memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan kepelbagaian biologi negara dilindungi dengan sebaiknya.

Menterinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia termasuk program kesedaran isu Access and Benefit Sharing (ABS) Protokol Nagoya yang kurang diketahui oleh ramai orang.

“Saya berharap pelaksanaan ABS dapat diuar-uarkan kepada semua pihak supaya mereka mengetahui bahawa negara kita telah mempunyai undang-undang mengenai ABS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sesi Webinar ABS dan Pengetahuan Tradisi, Buku Panduan Pengguna ABS dan Sistem MyABS yang dbuat secara maya di sini hari ini.

Persidangan itu diadakan bersempena dengan kempen penerangan berhubung Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 atau Akta 795 anjuran kementerian.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, tidak ramai tahu akta itu memberi manfaat yang meliputi faedah kewangan termasuk royalti, fi untuk permit penyelidikan dan paten dihasilkan.

“Ini melindungi hak cipta pengkomersialan produk diperoleh daripada sumber biologi seperti juga undang-undang antilanun cetak rompak dalam industri muzik atau filem,” jelas beliau.

Malaysia ujarnya turut menerima faedah bukan kewangan termasuk perkongsian hasil penyelidikan dan pembangunan; kajian kolaboratif dan pemilikan bersama harta intelektual.

Perlindungan itu katanya, meliputi pengetahuan tradisi milik komuniti pribumi turun-temurun untuk pelbagai tujuan seperti makanan, ubat serta petua amalan pertanian dan penternakan.

Pelaksanaan Akta 795 tegasnya, demi memastikan sumber biologi yang bernilai tinggi itu diakses hanya dengan jaminan perkongsian faedah kepada Malaysia dan komuniti terlibat.

“Akta ini juga bukti komitmen Malaysia di peringkat global dalam menerima pakai Konvensyen Kepelbagaian Biologi yang mengiktiraf sumber itu sebagai hak mutlak negara,” katanya lagi.

Malaysia jelas Shamsul Anuar berhak dapat faedah daripada penggunaan data biodiversiti oleh pelbagai negara, sekali gus banteras ‘biopiracy’ iaitu sumber biologi diambil tanpa izin.

Justeru kementeriannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah menguatkuasakan Akta 795 termasuk penyediaan Buku Panduan Pengguna ABS dan membangun sistem MyABS.

Ia merupakan gerbang aplikasi untuk bantu pihak berkuasa negeri dalam urusan permohonan permit serta melaksanakan kawalan dan pemantauan terhadap akses data sumber biologi.

“Bagi sokong hasrat ini, ingin dimaklumkan Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli boleh dimohon bagi aktiviti komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam berkaitan ABS,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed