by

Adegan polis kejar penjenayah  di EDL

News Sources:

JOHOR BAHRU : Seorang pemandu lori treler memandu secara merbahaya malah turut menghimpit kenderaan pasukan polis ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) semalam. 

Punca pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah itu bertindak nekad seperti itu kerana lori treler dipandunya membawa lebih muatan manakala Lesen Kenderaan Barang-barang (GDL) telah tamat tempoh. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, kejadian itu berlaku pada 7.45 pagi ketika sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat rondaan penugasan Operasi Perdagangan (Timbang Berat) di KM 7, Lebuh raya EDL.

Beliau berkata, semasa operasi dijalankan pasukan polis trafik telah mengesan lori treler yang membawa muatan berisi batu disyaki melebihi had berat. 

Tambahnya, anggota trafik telah menggunakan pembesar suara dan menyalakan lampu biru serta membunyikan siren amaran supaya pemandu kenderaan berat itu memberhentikan kenderaan.

“Bagaimanapun arahan tersebut tidak dihiraukan dan pemandu berkenaan terus memecut laju menghala ke lorong masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI). 

“Anggota trafik bertindak mengejar lori treler itu di mana ketika itu ia memandu secara merbahaya dan melakukan pemanduan secara zig zag dan menghimpit kenderaan pasukan polis dalam percubaan melarikan diri.

“Anggota trafik terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan berat itu bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd. Padzli berkata, sebaik sahaja pemandu itu memberhentikan kenderaan dan mendapati dua biji tayar lori treler itu pecah, suspek bertindak melarikan diri meninggalkan kenderaan tersebut. 

Katanya, suspek terbabit berjaya ditangkap dalam jarak kira-kira 100 meter dari lokasi lori treler itu diberhentikan. 

Tambahnya, semakan rekod jenayah mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau tetapi mempunyai sembilan rekod saman bagi kesalahan trafik. 

“Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan dan keputusan mendapati pemandu positif Methamphetamine. 

“Punca kejadian mendapati suspek tidak mahu ditangkap oleh pihak polis kerana membawa muatan lori treler melebihi muatan dan lesen (GDL) telah tamat tempoh,” katanya. 

Beliau berkata, suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45 akta yang sama serta Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Suspek juga siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed