by

Agensi kerajaan ambil maklum titah Sultan Johor

News Sources:

MERSING: Agensi dan jabatan kerajaan di daerah ini mengambil tindakan segera membersihkan isu lambakan sampah sekali gus mengembalikan imej yang terkenal sebagai lokasi pelancongan serta potensi lain. 

Pegawai Daerah, Mohd. Radzi Mohd. Amin berkata, beliau juga mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang murka sikap segelintir rakyat mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat awam dipenuhi sampah sarap.

“Saya telah mengarahkan setiap jabatan-jabatan yang berkepentingan bertindak segera bagi mengatasi isu sampah tersebut dan titah Sultan Johor ini juga membuktikan keprihatinan baginda terhadap daerah ini. 

“Sikap dan kesedaran dalam kalangan semua pihak perlu ada untuk menjaga kebersihan di daerah ini dengan tidak membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Sikap tidak bertanggungjawab ini perlu dibuang sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Mohd. Radzi, sejak dilantik sebagai Pegawai Daerah Mersing yang baharu pada 22 November lalu, beliau merencanakan pelbagai rancangan untuk memaksimumkan potensi daerah ini termasuk memperkenal slogan Mersing Kesayangan Kita dan Amazing Mersing.

Semalam, dalam muat naik di laman Facebook,  Sultan Johor murka dengan sikap segelintir rakyat di Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat awam dipenuhi sampah sarap.

Baginda bertitah, Mersing yang merupakan sebuah daerah pelancongan bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, malah kaya dengan keindahan alam semula jadi.

Sultan Ibrahim bertitah, Mersing perlu mencontohi daerah Muar apabila Bandar Maharani  dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN pada 2018.

Baginda turut bertitah mahu pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan kompaun secara efektif supaya rakyat lebih berdisiplin. – UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed