by

Ahli majlis perlu tunjuk prestasi baik

News Sources:

CYBERJAYA – Semua ahli majlis perbandaran perlu menunjukkan prestasi yang baik dan berintegriti bagi mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan tegas. 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, tindakan yang boleh diambil di bawah bidang kuasa beliau jika ada didapati prestasi ahli majlis tidak mencapai tahap yang memuaskan adalah dengan membuat laporan kepada kerajaan negeri. 

“Begitu juga seandainya berlaku salah laku dan ketidakcekapan, kita akan menghantar laporan kepada kerajaan negeri yang melantik mereka dan seterusnya terpulang kepada pihak kerajaan negeri dalam mengambil tindakan susulan. 

“Bagaimanapun, setakat ini, prestasi ahli-ahli Majlis Perbandaran Sepang menerusi rekod adalah sangat baik dan kesemua mereka menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. 

“Tidak ada yang dikenakan tindakan disiplin dan dibuang melainkan apabila perkhidmatan tamat tempoh mereka dilantik semula dan bukan atas alasan dipecat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perakuan Menerima Jawatan sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Bilik Semarak di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 24 ahli majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli MPsepang dengan lapan daripadanya adalah lantikan baharu. 

Abd. Hamid turut menyeru agar kepimpinan baharu ahli-ahli majlis berani melakukan transformasi ke arah kebaikan dan kemajuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta dapat melaksanakan amanah kerajaan dan masyarakat setempat dengan penuh integriti. 

“Ahli-ahli majlis juga perlu menunjukkan komitmen yang cemerlang dengan membawa segala permasalahan atau aduan masyarakat kepada pengetahuan majlis supaya dapat diselesaikan dengan segera. 

“Sesungguhnya peranan ahli-ahli majlis sebagai mata dan telinga masyarakat tidak boleh dinafikan.

“Tanggungjawab yang dipikul ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sikap turun padang perlu melalui program kemasyarakatan bagi melihat keadaan sebenar serta memahami keperluan penduduk di zon masing-masing,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, ahli-ahli majlis perlu bersikap lebih peka dan proaktif serta berfikir menjangkaui biasa selain melihat masalah itu sebagai peluang. 

“Kita mahu pelanggan merasa seronok, selesa dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh MPSepang serta menyanjung tinggi sikap responsif dan keprihatinan yang kita amalkan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed