by

Ahmad Fauzi mahu bawa UTM ke tahap lebih tinggi

News Sources:

JOHOR BAHRU: Semua pihak diharap terus memberi kerjasama bagi menjayakan agenda membawa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke peringkat lebih tinggi sama ada dalam negara atau antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, beliau akan terus memberi perkhidmatan terbaik dalam memastikan agenda tersebut dapat dicapai dengan jayanya.

“Terima kasih di atas kepercayaan yang diberi pengurusan tertinggi universiti serta seluruh warga UTM berhubung pelantikan saya sebagai Naib Canselor. 

“Saya juga turut merakamkan terima kasih kepada Prof. Datuk Dr. Wahid Omar atas kepimpinan beliau menerajui UTM selama tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Ahmad Fauzi sebagai Naib Canselor ketujuh itu adalah selama tiga tahun bermula 1 Januari tahun depan sehingga 31 Disember 2023. 

Ahmad Fauzi, 54, ketika ini memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM sejak 15 Januari 2015 di samping diberi kepercayaan menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor bermula 1 September lalu.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dan Sarjana Kejuruteraan Kimia UTM selain mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses dari University of Strathclyde, Scotland. 

Pencapaiannya akademiknya diiktiraf melalui sumbangan dalam bidang penyelidikan yang telah memberi impak bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.

Beliau telah memenangi lebih dari 130 anugerah bagi hasil penyelidikan dan pembangunan serta inovasi produk, antaranya menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Saintis Muda ASEAN, Anugerah Harta Intelek Negara dan meraih Anugerah Inovasi Negara sebanyak dua kali.

Beliau turut berjaya merangkul The World Academy of Sciences (TWAS), Prize in Engineering Sciences for 2019 dan Anugerah Merdeka 2014 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik. 

Peranan beliau sebagai pengasas dan Pengarah Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) bermula 1 Ogos 2013 sehingga 24 Jun 2018 berjaya memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya melalui penghasilan teknologi membrane bagi pengeluaran air bersih di lokasi terpencil atau lokasi bencana. 

Melalui teknologi itu, Kementerian Pendidikan telah memberikan kepercayaan untuk projek pembekalan sistem rawatan air mudah alih bagi program sekolah pedalaman di bawah kementerian dengan peruntukan RM8.1 juta. 

Ahmad Fauzi juga telah diiktiraf sebagai ‘Highly Cited Researcher, Malaysia’s Research Star Award’ selama tiga tahun.  

Sehingga kini, beliau telah menerbitkan lebih 900 jurnal berwasit, lapan buah buku karya asli, 66 bab dalam buku selain turut menyunting 10 buah buku serta terlibat dalam penghasilan lebih 30 paten. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed