by

Air cetek: Feri Jeti Kuala Perlis-Langkawi kurang belayar 

News Sources:

LANGKAWI: Konsortium Ferry Line Ventures mendakwa pihak pengurusan feri terpaksa mengehadkan pelayaran feri dari Terminal Jeti Kuala Perlis ke Pulau Langkawi akibat alur pelayaran cetek sejak 10 tahun lalu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, keadaan tersebut menyebabkan pihak pengurusan feri mengubah jadual pelayaran pada setiap hari mengikut keadaan semasa alur pelayaran.

Menurutnya, pada hari-hari tertentu, penumpang pula terpaksa menunggu antara enam hingga tujuh jam berikutan perkhidmatan feri tidak dapat beroperasi kerana air laut cetek di jeti tersebut.

“Pihak pengurusan feri hanya mampu menyediakan maksimum 12 perjalanan sehari bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Tindakan itu akan menjejaskan aktiviti pelancongan ke Pulau Langkawi berikutan kehadiran pengunjung yang terhad,” katanya di sini hari ini.

Konsortium Ferry Line Venture menggabungkan tujuh syarikat yang mempunyai 48 buah feri.

Operasi feri di dua terminal iaitu di Kuala Kedah dan Kuala Perlis mampu menampung lebih 20,000 penumpang sehari.

Baharin berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama kerajaan negeri Perlis berkaitan masalah alur pelayaran yang cetek terutama ketika air laut surut.

“Konsortium Ferry Line Venture telah mengemukakan cadangan kerja-kerja mendalamkan kawasan di Terminal Feri Kuala Perlis disegerakan untuk menjamin kelancaran operasi feri.

 “Selain itu, pihak kami juga mencadangkan Kuala Sanglang, Perlis sebagai kawasan jeti baharu bagi tempoh jangka masa panjang,” katanya lagi.

Beliau menambah, sebelum ini, beberapa kejadian membabitkan penumpang perkhidmatan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi terkandas akibat alur pelayaran yang cetek bagi laluan berkenaan.

Pada awal September lalu, seramai 355 penumpang berhadapan dengan detik cemas apabila terkandas hampir lima jam di pengairan Kuala Perlis akibat mendapan lumpur dan alur pelayaran yang cetek.

Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira 10 minit selepas feri terbabit berlepas dari Terminal Jeti Kuala Perlis.- UJTUSAN

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed