by

AJL yang semakin hilang taring

News Sources:

SENARAI 12 lagu yang menembusi Anugerah Juara Lagu (AJL) sekali lagi dibidas ramai.
Apa masalah sebenar AJL sehingga selalu diserang? Betul, nak puaskan hati semua pihak memang mustahil tetapi kalau sudah setiap tahun ada sahaja yang tidak puas hati, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
AJL menggabungkan elemen populariti dan kualiti dalam penilaiannya. Ia sangat cantik. Malangnya, cantik hanya di atas kertas.

Sempit dan bertakung
Muzik arus perdana dari dahulu sempit dan bertakung. Kebanyakannya lagu dengan tema dan elemen yang sama mendapat perhatian. Jika kita ambil AJL sebagai penanda aras muzik arus perdana, kita dapat lihat dengan jelas fenomena ini.
Untuk tiga edisi terakhir AJL, 24 daripada 36 lagu yang layak boleh dikaitkan dengan tema cinta. Dalam tiga edisi yang sama juga, lebih separuh lagu yang layak ke peringkat akhir mempunyai elemen balada.
Ini memang coraknya sejak dahulu. Sepanjang usia penganjurannya, 22 daripada 34 lagu yang menjadi juara mempunyai elemen balada manakala 23 daripadanya boleh dikaitkan dengan tema cinta.
Pendek kata ketika ini, kalau anda mahu lagu anda berjaya, bikinlah lagu yang disifatkan kenalan saya, Regina Ibrahim sebagai “menangis tepi kubur”. Kitar semula formula balada+cinta sampai abang Jamil meninggal dunia.
Tidak salah sebenarnya, namun haruslah ada eksperimentasi pada gaya, bunyi dan persembahan lirik. Barulah muzik itu berkembang, mengalir dan tidak bertakung.
Itu belum dikira beberapa muka sama yang layak ke peringkat akhir. Ada komposer yang sudah tujuh tahun tanpa gagal layak ke peringkat akhir. Ada pula komposer yang dalam masa tiga tahun sudah mencipta tujuh lagu yang layak ke peringkat akhir. Tidak mengapalah, kita anggap itu rezeki dan memang mereka komposer yang hebat.

Kegagalan arus perdana
Muzik Malaysia di arus perdana gagal berkembang dengan baik. Bagaikan ada empangan yang menahan pengaruh-pengaruh baharu.
Sangat mengecewakan apabila karya seperti Sakit (Yonnyboi dan Zynnakal) tidak terpilih ke AJL sedangkan ia mempunyai nuansa yang segar dengan gabungan elemen emo/trap/rap yang masih belum diteroka dengan luas dalam pentas popular Malaysia. Kualiti sama turut ditemui dalam X Missing You.
Tambahan lagi, lirik Sakit juga tepat untuk menyampaikan dilema masyarakat semasa iaitu depresi dan kerancuan generasi media sosial.
Begitu juga dengan Sembah (Naim Daniel menampilkan Man Kidal) yang memberi dimensi baharu kepada elemen virtuoso gitar yang semakin dilupakan.
Itu belum kira lagu yang langsung tiada dalam radar AJL tahun ini, seperti Kuasa (Joe Flizzow dan Azlan) serta Kasih Dan Sayang (Kugiran Masdo).
Sebaliknya, beberapa lagu seperti Belenggu Rindu (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah) dan Hati (Hael Husaini) boleh dipertikai kemaraannya, malah kejayaannya merangkul lagu terbaik Separuh Akhir.
Belenggu Rindu mempunyai susunan dan melodi yang agak lapuk manakala lirik Hati terlalu ringkas untuk diangkat dalam acara yang mempertandingkan kualiti lagu. Apabila mendengar lagu Hati, saya teringat kepada kritikan Malique Ibrahim dalam lagu Salut. Kata Malique, “mereka suka simple sampai single bunyi jingle”.
Sukar untuk lihat genre dan gaya muzik baharu mendapat pengiktirafan di pentas arus perdana Malaysia kecuali untuk beberapa fasa. Itupun, ia sukar untuk bertahan. Mungkin betul kata kawan saya, Farid. Katanya, kalau Billie Eilish itu penyanyi Malaysia, lagunya mungkin tak akan mara ke AJL.

Senyum sinis
Walau bagaimanapun, segala kritikan bertali arus terhadap AJL tahun ini membawa senyum sinis kepada wajah saya. AJL yang sekian lama menjadi penanda aras muzik arus perdana semakin hilang taring dan ini boleh menjadi petanda baik.
Arus perdana perlu bertakung dan buat orang benak untuk membuka jalan kepada penerokaan muzik yang lebih luas oleh pendengar. Ini yang mendorong gelombang muzik hip-hop meletus pada awal 2000-an dan muzik alternatif mendapat perhatian di Malaysia lebih 10 tahun dahulu.
Melihat kepada situasi sekarang, empangan kebenakan dalam muzik arus perdana sudah semakin penuh. Ia hanya menanti masa untuk satu gelombang besar datang dan memecahkannya. Adakah ia gelombang post-hardcore? Atau emo-rap seperti bawaan Yonnyboi?- Mingguan Malaysia





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed