by

Akaun semasa catat lebihan RM19 bilion suku keempat 2020

News Sources:

KUALA LUMPUR – Akaun semasa Malaysia terus mencatatkan lebihan sebanyak RM19.0 bilion pada suku keempat 2020, didorong oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi dan defisit yang lebih kecil dalam pendapatan primer.

Imbangan Akaun Semasa bagi keempat-empat suku tahun 2020 secara kumulatif mencatatkan RM62.1 bilion, lebihan tertinggi sejak 2011.

Lebihan tahunan yang lebih tinggi turut dipacu oleh prestasi barangan yang memberangsangkan serta defisit yang rendah dalam pendapatan primer dan pendapatan sekunder.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan akaun semasa pada suku ini terutamanya didorong oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi pada RM42.9 bilion.

Eksport barangan yang menyumbang 91.4 peratus kepada keseluruhan eksport Malaysia mencatatkan RM217.5 bilion daripada RM204.9 bilion pada suku sebelumnya.

Peningkatan ini disokong oleh eksport produk berasaskan minyak sawit, getah dan kimia; terutamanya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Begitu juga, import barangan melonjak 6.9 peratus kepada RM174.6 bilion berbanding suku sebelumnya.

Import yang lebih tinggi disumbangkan oleh kenaikan barangan perantaraan, modal dan penggunaan terutamanya dari China, Singapore dan Japan.

”Lebihan akaun semasa pada suku akhir juga didorong oleh defisit yang lebih rendah dalam pendapatan primer dan defisit bersih pendapatan primer berkurangan kepada RM7.1 bilion berbanding RM9.2 bilion pada suku ketiga tahun 2020.

”Syarikat Malaysia di luar negeri memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM14.6 bilion, peningkatan sebanyak 28.5 peratus daripada suku sebelumnya. Syarikat yang beroperasi di Indonesia, Singapura dan AS merupakan penyumbang utama,
terutamanya dalam sektor Kewangan, Pembuatan dan Maklumat & komunikasi,” katanya di sini.

Sementara itu, syarikat asing di Malaysia turut memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM21.7 bilion dan terutamanya dari sektor pembuatan dan kewangan.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM14.2 bilion berbanding suku sebelumnya pada tahun 2020 disebabkan oleh pengangkutan, pembinaan dan perjalanan.

Kedua-dua eksport dan import perkhidmatan masing-masing meningkat sebanyak RM0.7 bilion dan RM1.7 bilion untuk merekodkan RM20.5 bilion dan RM34.7 bilion.

“Akaun kewangan pada suku ini mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih rendah RM10.8 bilion berbanding RM35.2 bilion pada suku lalu disebabkan oleh aliran keluar yang lebih rendah pada pelaburan portfolio dan pelaburan lain.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) berubah arah aliran kepada aliran masuk RM6.1 bilion daripada aliran keluar RM0.8 bilion pada suku sebelumnya, disebabkan oleh suntikan ekuiti dan instrumen hutang yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pelaburan Langsung Di Luar Negeri (DIA) oleh pelabur Malaysia mencatat aliran keluar bersih RM5.4 bilion berbanding RM2.2 bilion pada suku sebelumnya disebabkan oleh pelaburan ekuiti yang lebih tinggi di luar negeri dan keuntungan dilabur semula pada suku ini. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed