by

Amir Hamzah dilantik CEO KWSP

News Sources:

KUALA LUMPUR – Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu berkuatkuasa 1 Mac 2021.

Amir Hamzah yang sebelum ini merupakan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menggantikan Tunku Alizakri Alias yang telah menerajui KWSP semenjak 20 Ogos 2018.

Beliau mempunyai 25 tahun pengalaman dalam meneraju beberapa organisasi korporat.

Kerjaya Amir Hamzah bermula apabila beliau menyertai Kumpulan Shell dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif beberapa organisasi korporat antaranya MISC Berhad, PETRONAS Dagangan Berhad, PETRONAS Lubricants International, Icon Offshore Berhad dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan (Kewangan dan Ekonomi) daripada Universiti Syracuse, New York.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata: “Tunku Alizakri akan meneruskan sumbangannya terhadap perkhidmatan awam melalui kapasiti yang berbeza.

“Dengan berat hati, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan ucapan selamat maju jaya kepada Tunku Alizakri atas dedikasi dan sumbangan beliau selama 7 tahun.”

Menurut beliau, Alizakri bermula di KWSP sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) dan kemudian sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

Katanya, wawasan serta komitmen Alizakri kepada semua pihak berkepentingan terutama ahli-ahli KWSP boleh dilihat melalui hala tuju KWSP dalam mempertingkatkan kecekapan operasinya melalui pecutan digital, mengguna pakai dasar dan tadbir urus alam sekitar (ESG) dan kelestarian (sustainability) sebagai metrik utama, serta memperkasakan keselamatan sosial dan kesejahteraan bagi masyarakat Malaysia.”

“Bagi pihak KWSP, saya ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada Tunku Alizakri di atas perkhidmatan yang cemerlang kepada KWSP dan dalam masa yang sama saya ingin mengucapkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Amir Hamzah di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baharu.

“Kami mengalu-alukan kehadiran beliau untuk menerajui organisasi ini dan percaya ciri-ciri kepimpinan dinamik yang beliau miliki serta pengalaman yang luas mampu membantu KWSP di kala mengharungi detik-detik masa kini yang sangat kompleks dan mencabar dalam sejarah KWSP,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed