by

Anggota polis bakal berkahwin maut kemalangan

News Sources:

YAN: Polis yang bakal melangsungkan perkahwinannya pada 17 Januari depan maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Ruat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Konstabel Taxlamsyah Nurul Hayat Piee, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala dan beberapa anggota badan lain.

Taxlamsyah Nurul Hayat Piee

Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, anggotanya yang berasal dari Sarawak itu telah mendapat kelulusan cuti untuk majlis akad nikah di rumah tunangnya di Terengganu pada hari tersebut.

“Hari ini merupakan hari terakhir mangsa bekerja sebelum bercuti untuk majlis pernikahannya.

“Mangsa menamatkan tugasan syif pagi tadi dan pulang ke rumah sewanya di Singkir sebelum datang semula ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa tugas tetapi terlibat kemalangan dan meninggal dunia,” katanya.

Shahnaz berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Nissan Sunny dari arah Singkir ke Yan dipercayai terbabas di tempat kejadian dan bertembung dengan lori dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tersepit.

 Menurutnya, mayat mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba sejurus kejadian sebelum dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dekat sini.

Menurut Shahnaz, mangsa merupakan anak ke tiga daripada tujuh beradik dan baru tiga tahun bertugas di bahagian persenjataan dan disenangi pegawai serta anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan kerana mempunyai budi pekerti yang baik.

“Arwah adalah bilal di surau IPD dan mewakili daerah ini sebagai qari dalam pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat kontinjen,” katanya.

Jelasnya, jenazah anggota polis itu akan dihantar pulang ke Sarawak selepas bedah siasat di HSAH.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed