by

Anggota tentera maut, rakan cedera motosikal rempuh lori

News Sources:

MELAKA: Seorang anggota tentera maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah lori di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohd. Hairie Mohd. Shah, 22, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala rakannya, Benedict Anak Johnson, 25, luka di kepala, muka dan tangan.

Mengikut maklumat awal, kedua-dua anggota tentera itu dilaporkan beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian lori tersebut dalam perjalanan dari arah Kampung Bertam Ulu menghala ke Ayer Keroh.

“Apabila sampai di lampu isyarat Taman Paya Emas, lori tersebut membelok ke kanan untuk menuju ke Ayer Keroh, namun tiba-tiba motosikal ditunggangi dua anggota tentera itu yang datang dari arah Cheng telah melanggar bahagian kanan lori tersebut.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng mengalami luka-luka dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, pemandu lori terbabit yang berusia 25 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan basah disebabkan hujan.

“Pemandu lori tersebut dibawa ke Hospital Melaka untuk diambil sampel darah dan akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesanan kandungan alkohol dan dadah.

“Sehingga kini tiada saksi bebas yang tampil memberikan maklumat mengenai punca kemalangan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed