by

‘Angin’ bawa pelayar negara ke Desaru

News Sources:

PETALING JAYA: Skuad pelayaran negara, termasuk tiga atlet yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo menjalani latihan intensif di perairan Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (KRMSAU), Desaru.

Latihan tersebut amat penting dalam merealisasikan misi meraih rekod baharu pelayaran sambil mengintai prospek menaiki podium di Olimpik Tokyo yang bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos.

Sesi latihan itu melibatkan 17 pelayar, termasuk tiga yang telah meraih tiket Olimpik iaitu Nur Shazrin Latif (Laser Radial) dan gandingan Nuraisyah Jamil serta Juni Karimah Noor Jamali (International 470).

Menurut Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, pasukan pelayaran negara hanya tinggal empat bulan untuk membuat persiapan sebelum menyertai Olimpik Tokyo.

Sejak kali pertama pelayar negara layak ke Olimpik di Atlanta 1996 menerusi acara Laser Standard, Malaysia tidak pernah gagal mempunyai wakil dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Kata Kamaruzzaman, MSA tidak boleh  menunggu keadaan pandemik Covid-19 stabil sebaliknya perlu mengisi ruang dan masa yang ada dengan menjalani latihan intensif tanpa kompromi dalam soal pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Pemilihan perairan terbuka Laut China Selatan dekat KRMSAU ekoran keadaan angin di Pusat Latihan Langkawi ketika ini agak perlahan dan latihan tidak dapat dijalankan seperti diharapkan jurulatih.

Sebaliknya, keadaan laut di Desaru ini amat berbeza dengan keadaan angin yang kuat dan ombak besar sekali gus mampu menggantikan latihan dan kejohanan pendedahan luar negara yang terpaksa dibatalkan buat ketika ini.

Kata Kamaruzzaman, sehingga kini jurulatih amat berpuas hati dengan keadaan laut di KRMSAU kerana atlet dapat menjalani latihan dengan kadar intensiti yang tinggi dan kawasan latihan yang berbeza.

“Kem latihan sebegini memberi nafas baharu selain pendedahan positif kepada pasukan selepas menjalani latihan secara kuarantin di Pusat Latihan Langkawi beberapa bulan yang lepas,” katanya.

Latihan pasukan pelayaran negara di lokasi baharu itu mendapat perhatian Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, apabila beliau datang meninjau KRMSAU.

Setakat ini, empat atlet pelayaran dalam tiga kelas sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 iaitu menerusi kelas Laser Standard, Laser Radial dan International 470 wanita. Atlet Laser Standard.

Seorang lagi pelayar yang akan beraksi di Olimpik, Khairulnizam Mohd. Afendy kini menjalani latihan dan menyertai kejohanan di Pulau Tenerife, Sepanyol mengikut SOP penganjur.

Sementara itu MSA masih mencuba untuk mendapatkan tiket kelayakan Olimpik bagi kelas Windsurfing RS:X lelaki yang kini mengambil bahagian dalam kejohanan Terbuka Musannah dari 1 sehingga 8 April di Musannah, Oman.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed