by

Angkasa perluas teknologi hijau – Utusan Digital

News Sources:

KUALA LUMPUR: Angkatan Ko­perasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperluaskan penggunaan teknologi hijau melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Tree Technologies Sdn. Bhd.

Tree Technologies merupakan syarikat pengeluar kende­raan berteknologi tanpa minyak seperti basikal dan motosikal.

Melalui perjanjian selama setahun itu, Angkasa dan Tree Technologies akan menawarkan produk kenderaan elektrik jenama TREELETRIK kepada 14,625 buah koperasi di Malaysia de­ngan keanggotaan kira-kira 6.1 juta orang.

Presiden Angkasa merangkap Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, teknologi hijau mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara lebih-lebih lagi dalam membantu mengurangkan kos operasi dari segi penjimatan bahan api dan menangani isu pencemaran udara.

Beliau berkata, industri yang menggunakan atau memba­ngunkan produk menggunakan teknologi hijau turut berupaya menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

“Sehubungan itu, Angkasa yakin menerusi MoU dengan Tree Technologies, koperasi bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan kerjasama, malah bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan kepakaran khususnya dalam bidang teknologi hijau untuk memperkasa sektor inovasi dan teknologi koperasi.

“Angkasa sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan sentiasa mencari ruang dan peluang perniagaan baharu bagi meningkatkan aktiviti ekonomi untuk meningkatkan perolehan koperasi.

“Koperasi juga diharap akan dapat meneroka peluang perniagaan baharu dalam produk mesra alam melalui MoU yang ditandatangani.

“Seperti yang kita sedia maklum, pasaran untuk teknologi hijau amat besar khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan semalam.

Majlis menandatangani MoU itu turut dihadiri Pengarah Tree Technologies, Datuk V. Menon; Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) Angkasa, Datuk Ahmad Jamil Hashim dan Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Perniagaan Angkasa, Nor Azmi Abdul Jalil.

Abdul Fattah berkata, tumpuan akan diberi kepada koperasi siswa universiti bagi kegunaan pelajar sama ada untuk kegunaan sendiri ataupun me­lakukan pekerjaan sampingan memandangkan kos penyelenggaraannya yang minimum. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed