by

Angkasa sasar 9 negara ASEAN miliki model koperasi masjid, sekolah

News Sources:

PORT DICKSON: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan sembilan negara ASEAN untuk mempunyai model koperasi kariah masjid dan koperasi sekolah selewat-lewatnya tahun ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia selaras dalam usaha Angkasa mempergiatkan kerjasama strategik dengan koperasi luar negara sekali gus meluaskan pasaran perniagaan ke peringkat global.

“Angkasa menyasarkan sembilan negara ASEAN pada tahun ini dan setiap negara tersebut perlu mempunyai model koperasi kariah masjid dan koperasi sekolah. Kami mahu menggunakan masjid sebagai rangkaian perniagaan dan kami akan memperkenalkan koperasi sebagai merancakkan ekonomi masjid negara ASEAN.

“Pihak kami menggunakan kekuatan dan imej baik koperasi baik dalam kalangan koperasi luar negara. Kami telah mengenal pasti sasaran dan meneroka produk halal serta perkhidmatan kewangan Islam yang patuh syariah jadi negara luar tahu Angkasa ada kepakaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100) di Pejabat Koperasi Kenderaan dan Pengangkutan Daerah Port Dickson Bumiputera Berhad, Jalan Seremban, Kampung Gelam, dekat sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Angkasa, Che Mohd. Shukree Che Isa, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Sembilan, Datuk Ibrahim Abdullah dan Pengerusi Koperasi Kenderaan dan Pengangkutan Daerah Port Dickson Berhad, Sakdiah Harun.

Sebanyak 50 set barangan keperluan asas diserahkan menerusi BA100 dengan peruntukan berjumlah RM3,500 diagihkan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurut Abdul Fattah, sebanyak 14,668 koperasi di negara ini telah berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan bernaung dibawah Angkasa sebagai Koperasi Puncak (Apeks).

Katanya, usaha tersebut selari dengan Langkah Strategik Bidang Tujahan ke-2 yang digariskan dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 hingga 2025 (TransKom).

“Angkasa sebagai badan Apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan akan memainkan peranannya di peringkat nasional dan global supaya gerakan koperasi negara menerima manfaat hasil usaha sama dan hubungan baik dengan koperasi luar negara.

“Bagi pihak Angkasa kami mengalu-alukan dan memberi kerjasama sebaik mungkin kepada pihak kerajaan terutama sekali SKM serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi menjayakan matlamat TransKom. Pihak kerajaan mahu koperasi menyumbang sebanyak lima peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan jumlah RM60 bilion pada 2025,” katanya.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed