by

Anugerah tertinggi Airbus untuk CTRM

News Sources:

KUALA LUMPUR: Syarikat pembuat komponen komposit pesawat, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) menerima anugerah Accredited Member bagi kategori struktur aero daripada syarikat pengeluar pesawat terbesar dunia, Airbus.

Menurut CTRM, anugerah itu diumumkan bersempena Hari SQIP (Supply Chain and Quality Improvement Program) Airbus 2019 yang dilangsungkan di Toulouse, Perancis, baru-baru ini.

Anugerah Accredited Member merupakan anugerah pencapaian tertinggi yang diberikan oleh Airbus kepada syarikat-syarikat pembekal mereka pada Hari SQIP.

Jelasnya, CTRM, anak syarikat DRB-HICOM, merupakan rakan strategik penting Airbus di rantau ini, menghasilkan komponen sayap dan penutup enjin bagi pesawat-pesawat A350, A320, A400M dan A380 antara lainnya.

“CTRM merupakan syarikat pembekal Airbus Tier-2 yang pertama di dunia yang menerima pengiktirafan anugerah Accredited Member tersebut.

“Ini adalah tahun kelima berturut-turut CTRM menerima pengiktirafan daripada Airbus. Pada 2016, syarikat yang berpengakalan di Melaka itu menerima anugerah Honorable Mention, diikuti Best Improver pada 2017 dan 2018. Tahun lalu, CTRM menerima anugerah Best Performer,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, kejayaan itu hasil komitmen, kerjasama berpasukan dan sokongan padu daripada semua warga kerja CTRM.

Katanya, pengiktirafan yang diterima dalam industri struktur aero antarabangsa yang amat mencabar itu adalah hasil pelaksanaan projek-projek penambahbaikan secara berterusan dalam tempoh 24 bulan lalu.

“Kami amat berbangga menerima anugerah yang mencerminkan komitmen mendalam CTRM dalam memenuhi sasaran dan piawaian Airbus bagi Kecemerlangan Kualiti, Kos dan Penghantaran (QCD),” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed