by

Apa hasil siasatan ribuan ikan mati di Sungai Perai?

News Sources:

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan mendedahkan segera hasil ujian sampel air dan ikan yang mati di Sungai Perai dekat sini kelmarin.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana kejadian tersebut amat serius dan menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana ribuan ikan yang menjadi mangsa pencemaran merupakan sumber makanan.

Menurutnya, CAP kesal dengan kejadian itu dan meminta JAS menyiasat serta mengenal pasti punca sebenar masalah tersebut serta mengambil tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas mereka yang didapati terlibat.

“CAP percaya jika masalah ini berlarutan bukan sahaja boleh menyebabkan ikan di dalam sungai tersebut pupus dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan, malah akan merebak ke laut berhampiran serta mengancam pembiakan kerang di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kelmarin penduduk di Taman Kimsar, Perai dekat sini dikejutkan dengan kejadian ribuan ikan ditemukan mati dan terdampar di Sungai Perai.

Menurut Mohideen, pihaknya tidak mahu nasib Sungai Perai menjadi seperti Sungai Juru di mana ikan, udang dan kerang mati kerana diancam pencemaran sisa toksik dari kawasan perindustrian berhampiran.

Sehubungan itu tambahnya, pihak berkuasa terbabit perlu memberi perhatian serius terhadap masalah tersebut dan menjadikan Sungai Perai sebagai lokasi tumpuan kerana terdedah dan mudah tercemar oleh pelbagai bahan buangan berbahaya.

Katanya, dalam masa sama CAP juga meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakukan pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan kilang-kilang industri yang terdapat di sepanjang sungai itu mematuhi segala peraturan sedia ada.

Selain itu jelasnya, CAP menyokong cadangan JAS supaya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipinda bukan sahaja meningkatkan jumlah penalti maksimum dari RM500,000 kepada RM10 juta tetapi memberi lebih kuasa kepada agensi itu untuk bertindak di luar waktu pejabat.

“Ini kerana kita sebelum ini menerima banyak rungutan orang ramai terdapat kilang-kilang industri yang membuang sisa selepas waktu pejabat bagi mengelak dikesan dan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa,” katanya.





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed