by

Banjir: Al-Sultan Abdullah zahir simpati 

News Sources:

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan simpati kepada mangsa-mangsa banjir yang melanda beberapa negeri berikutan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu. 

Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar mangsa-mangsa bencana berkenaan tabah mengharungi dugaan dan musibah yang menimpa mereka. 

Al-Sultan Abdullah menasihatkan rakyat khususnya di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga serta bersedia berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan segera jika diarahkan pihak berkuasa. 

Menzahirkan keprihatinan Seri Paduka terhadap mangsa-mangsa banjir, Al-Sultan Abdullah menyeru pihak-pihak berkuasa berkaitan khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nada) supaya terus menghulurkan segala bentuk bantuan  diperlukan kepada penduduk terjejas.

“Semua pihak berkuasa berkaitan diingatkan supaya bersama-sama memikul tanggungjawab meringankan kesusahan dan beban mangsa-mangsa banjir. 

“Mengambil kira kenaikan mendadak kes positif Covid-19 harian di negara ini, supaya aspek norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan wabak menjadi keutamaan di semua PPS dan diamalkan oleh semua petugas dan mangsa banjir,” titah Seri Paduka menerusi kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan melawat mengejut kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, Pahang iaitu di  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran, Surau Kampung Jara, Sekolah Kebangsaan Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin. 

Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang berada di PPS tersebut dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung. 

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nadma, kerajaan negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus-lumus membantu rakyat setiap kali banjir. 

Seri Paduka mengajak seluruh rakyat bersama Baginda mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Sementara itu, semasa mengadakan lawatan mengejut ke Maran, Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong berkenan memandu sendiri meredah banjir di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Video berdurasi 10 saat itu turut dimuat naik dalam Facebook Istana negara. – UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed