by

Batu Merah bawa tuah buat kaki pancing

News Sources:

GEORGETOWN: Kumpulan kaki pancing dari seluruh negeri ini mula menjadikan lokasi Batu Merah yang terletak di belakang Pulau Jerejak di sini sebagai lubuk ikan sekali gus menganggapnya sebagai ‘tuah’ buat mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kawasan yang terletak di persisiran pantai dan mempunyai bentuk seakan-akan hati itu dikatakan semula jadi berwarna merah.

Difahamkan, selain menjadi tumpuan nelayan dan kaki pancing, ada dalam kalangan masyarakat bukan Islam turut ke situ untuk memakbulkan hajat atau ‘ong’ selepas memperoleh sesuatu yang diimpikan dengan melepaskan puluhan ekor ikan pelbagai spesies di lokasi batu berkenaan.

Mereka ke situ dengan menggunakan bot persendirian atau melalui perkhidmatan bot pancing yang disewa daripada pengusaha di jeti-jeti berhampiran.

Perjalanan dengan menaiki bot dari Jeti Uban, Gelugor ke Batu Merah itu mengambil masa kira-kira 25 minit dengan kadar bayaran RM45 seorang bagi perjalanan pergi dan balik.

Seorang tekong bot pancing, Mohd. Sobri Karim, 35, berkata, ramai warga tempatan terutama kaki pancing mendapatkan perkhidmatan bot untuk dibawa ke lokasi Batu Merah setiap minggu.

Menurutnya, dianggarkan 15 hingga 20 pelanggan memilih memancing di persisiran pantai berdekatan dengan Batu Merah termasuk dari atas bot kerana yakin tidak akan pulang dengan tangan kosong.

“Jumlah pemancing didapati semakin bertambah sejak tahun lalu disebabkan rata-rata mereka menganggap lokasi berkenaan sebagai tuah buat mereka membawa pulang pelbagai hasil ikan seperti jenahak, ikan merah, siakap dan pari dalam jumlah yang banyak,” katanya di sini semalam.

Jelas Sobri, lokasi berkenaan sering dikunjunginya sejak beberapa tahun lalu bersama beberapa rakan dan pernah membawa balik tidak kurang 15 ekor ikan siakap, kerapu, jenahak dan merah.

Sementara itu, seorang kaki pancing yang juga operator kilang, Azlan Ahmad, 32, berkata, dia sanggup mengeluarkan duit poket sendiri untuk ke Batu Merah setiap minggu semata-mata mahu membawa pulang hasil ikan yang lumayan.

“Hasil ikan yang diperoleh mampu dijadikan lauk untuk kami anak-beranak selama seminggu. Bagi saya, inilah pilihan yang ada bagi membantu menampung kehidupan keluarga ketika ini.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, semua elaun kerja dipotong dan tiada lagi kerja lebih masa. Saya hanya menerima bayaran gaji pokok semata-mata setiap bulan,” katanya.

Tambah Azlan, aktiviti rekreasi yang mula dibenarkan beroperasi pada Jumaat lalu itu sememangnya memberi peluang keemasan buat kumpulan pemancing dalam mencari sumber rezeki ketika berdepan dengan cabaran pandemik ketika ini. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed