by

Bau busuk najis kerbau ganggu penduduk

News Sources:

IPOH: Bau busuk dengan persekitaran kotor dan menjijikkan terpaksa dilalui kira-kira 100 penduduk di Jalan Margosa A/3, A/4, A/5, A/8 dan Lapangan Margosa, Taman Seri Botani di sini sejak lebih empat tahun lalu.

Keadaan yang menjejaskan kehidupan seharian penduduk itu berpunca daripada sikap tidak prihatin penternak kerbau yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran sehingga najis haiwan itu bertaburan di jalan raya.

Seorang penduduk, Paizah Parmin, 65, berkata, bau busuk yang meloyakan itu menyebabkan mereka sekeluarga berasa mual sehingga terpaksa memakai pelitup muka dalam rumah.

Lebih teruk katanya, bau busuk itu tetap menusuk hidung walaupun pintu dan tingkap rumah telah ditutup.

“Bau busuk tahi dan kencing kerbau ini sangat kuat sehinggakan kami rasa macam duduk dalam kandang.

“Sekarang ini mahu jemur pakaian pun susah sebab bimbang bau melekat menyebabkan kami terpaksa hantar ke dobi. 

“Lebih sedih apabila mahu makan dalam rumah sendiri pun tidak berselera sehinggakan terpaksa dibungkus dan makan di luar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Paizah berkata, selain tertekan dengan bau najis kerbau, kawasan perumahan itu juga sering menerima ancaman babi liar yang menyelongkar tong sampah.

Katanya, pelbagai aduan telah disalurkan kepada pihak bertanggungjawab namun tiada tindakan sewajarnya diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Rumah saya yang paling hujung jadi di sini dipenuhi najis kerbau itu bertaburan. Kami pernah bersihkan sendiri tapi sampai bila? Perkara ini berlarutan bertahun-tahun.

“Anak saya juga pernah menegur tindakan lelaki yang dipercayai pemilik haiwan ternakan itu, malangnya dia bukan sahaja tidak mengaku ternakan itu miliknya malah memarahi kami semula,” katanya.

Sementara itu, Aminah Abdul Rahim, 54, berkata, sejak masalah itu berlaku, penduduk di kawasan tersebut perlu memastikan pintu pagar sentiasa bertutup bagi memastikan tidak dimasuki haiwan berkenaan.

Katanya, kereta yang diletak di hadapan rumah juga rosak kerana digesel kerbau dan menyebabkan penduduk terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari rumah.

“Pernah beberapa kali kemalangan berlaku kerana mereka mahu mengelak terlanggar najis kerbau. Keadaan ini sangat bahaya terutama kanak-kanak yang mahu bermain di luar rumah,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed