by

Bayi Tahun Baru Cina di Hospital Pantai KL

News Sources:

KUALA LUMPUR – Apa lagi yang lebih menggembirakan jika tidak kelahiran bayi pada hari istimewa seperti Tahun Baru Cina.

Pada tahun ini, tahun ini Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) meraikan kegembiraan berganda dengan menyambut kelahiran tiga orang bayi.

Bagi pasangan ​Jill Wee Li Queen, 31 dan ​K. Jeeva Reuben, 30​, anak lelaki kedua mereka itu merupakan kegembiraan pada Tahun Lembu kerana bayi itu lahir dua minggu lebih awal daripada jangkaan.

“Kami sebenarnya sibuk mengemas rumah pada malam sebelum Tahun Baru Cina sebelum kelahiran bayi ini. Agaknya sebab terlalu sibuk sehingga mencepatkan proses kelahiran.

“Malam tersebut, kami tidur dan tak disangka-sangka air ketuban saya pecah pada pukul 3 pagi,” kata Li Queen.

Jeeva mengemas baju serta keperluan lain-lain keperluan pada awal pagi malah sempat membeli belah barangan bayi seperti botol susu, puting dan lampin.

Kelahiran bayi seberat 2.42 kilogram (kg)secara normal pada 12 Februari amat menggembirakan pasangan itu.

“Kami juga gembira kerana tarikh ini sangat cantik, 12.2.21, satu ​palindrome d​an jatuh pula pada tarikh bertuah, Tahun Baru Cina. Mungkin dia akan mendapat banyak duit raya tahun ini,” ujarnya.

Kegembiraan juga terpancar pada pasangan ekspatriat dari Rajasthan, India, ​Sarooj Poonia, 33 dan suaminya, Surendra Kumar, 38 yang turut menimang cahaya mata lelaki seberat 3 kg pada jam 3.32 pagi.

“Kami sudah menetap di Malaysia sejak lebih tiga tahun dan kami sangat gembira kerana kami datang dari India, anak kami pula dilahirkan pada Tahun Baru Cina di Malaysia.

“Bayi kami ibarat Duta Pelancongan Malaysia menerusi slogannya ‘Malaysia Truly Asia’,” kata Surendra.

“Isteri saya terpaksa melahirkan secara pembedahan kali ini dan saya sangat bersyukur kerana doktor dan jururawat di sini banyak membantu kami sepanjang proses kelahirannya.

“Anak lelaki sulung kami yang berusia 8 tahun dilahirkan secara normal sebelum ini. Sebab itu, pada awalnya saya berasa sedikit risau,” katanya.

Beberapa jam kemudian, Wad Bersalin C3 di PHKL menerima kehadiran Tahun Baharu Cina yang ketiga ke dunia, seorang bayi perempuan milik pasangan ​Bavani Sivalingam, 36 dan Thraidevjeet Singh, 36​.

Puteri kecil ini merupakan anak sulung mereka, lahir pada jam 7.18 malam 13 Februari dengan berat 2.87 kg.

“Sebenarnya jangkaan tarikh kelahiran adalah pada 25 Februari dan kami berhasrat untuk menjalani pembedahan ada pada 18 haribulan apabila kandungan saya berusia 39 minggu.

“Nampaknya, si kecil ini mempunyai rancangannya tersendiri dan dia mengejutkan kami dengan kelahirannya,” kata Bavani.

Apa yang membuatkan pengalaman ini amat bermakna bagi Bavani adalah dia juga dilahirkan di PHKL kira-kira 36 tahun lalu.

Dia dan suaminya amat gembira dengan perkhidmatan yang diterima di PHKL.

“Ya, Hospital Pantai Kuala Lumpur adalah sebuah hospital bertaraf premium tetapi nilai perkhidmatan yang diterima amat berbaloi.

“Kami sering datang ke sini untuk rawatan dan setiap kali pulang dari hospital, kami tahu yang kesihatan kami terjamin di sini,” tambah bapa baharu tersebut.

Selain daripada kepakaran dalam rawatan Kanser, Jantung, Tulang dan Kecemasan, PHKL juga mempunyai reputasi baik dalam bidang kesihatan Wanita & Kanak-kanak di Lembah Klang.

Ini menerusi pengiktirafan yang diterima daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai hospital swasta pertama di Malaysia yang menerima akreditasi Hospital Mesra Bayi. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed