by

Bekalan barangan keperluan, makanan dijamin cukup 

News Sources:

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah memberi jaminan barangan keperluan dan makanan di negeri ini mencukupi berdasarkan pemeriksaan ke atas 180 peruncit dan 81 pemborong terpilih sejak semalam.

Sehubungan itu, pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.

“Kita ingin tegaskan bahawa semua barang keperluan untuk Kedah adalah mencukupi dan tidak perlu pembelian panik walaupun PKP dilaksanakan. Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan tentang pembelian panik.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati bekalan mencukupi terutama untuk barang asas seperti gula, 832 metrik tan, minyak masak (392 metrik tan),  tepung gandum (456 metrik tan) dan gas petroleum cair (46,869 tong),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di syarikat pemborong barangan keperluan dan makanan di Jalan Gangsa di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bekalan tersebut mencukupi bagi tempoh dua minggu untuk memenuhi keperluan penduduk negeri ini.

Jelas beliau, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di premis perniagaan sepanjang masa sekiranya  PKP dilaksanakan di negeri ini untuk memastikan barang keperluan mencukupi.

“Kita akan pastikan keadaan semasa PKP tidak terjejas kerana kita akan sentiasa berkomunikasi dengan pihak pemborong mahupun pasar raya untuk memastikan bekalan sentiasa cukup.

“Selain itu, kita juga menasihatkan peniaga agar tidak menyorok barang atau mereka akan dikenakan tindakan,” katanya.

Jelasnya, semua premis di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa untuk memastikan bekalan mencukupi.

“Keadaan ini adalah berbeza ketika PKP pertama dilaksanakan di mana kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada bekalan di pasaran.

“Bagaimana pun, KPDNHEP akan sentiasa memantau secara harian untuk memastikan barang-barang asas ini seperti gula, tepung, minyak masak, beras, roti, ayam dan telur sentiasa mencukupi,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed