by

Bekas anggota polis didakwa terima rasuah RM500

News Sources:

SEREMBAN: Bekas anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah berkaitan kes dadah, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Faizal Paimin, 37, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mardihah Hairullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai anggota polis di bawah Tugas-Tugas Am di Balai Polis Sikamat, Seremban secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM500 daripada seorang lelaki pada 4 Januari 2017 di Jalan Beringin Kampung Linsum, Rantau di sini.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak melakukan tangkapan terhadap lelaki itu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Zainal Yahaya memohon jaminan yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh kemudian memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia telah diberhentikan tugas daripada pasukan polis dan kini mempunyai tanggungan seramai enam orang selain sudah tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed