by

Bekas kakitangan TM didenda RM10,000, penjara sehari

News Sources:

SHAH ALAM: “Sepatutnya apabila orang bagi kerja, patut lakukan dengan beretika dan berintegriti.”

Itu antara butiran penghakiman Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen di sini selepas mendapati seorang pemilik kedai basikal, Khairunnas Rustam bersalah atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berhubung pemasangan talian unifi antara 2012 hingga 2014.

Khairunnas,42, merupakan bekas kakitangan Telekom Malaysia ( TM ) itu didenda RM10,000 dan dipenjara sehari selain diperintahkan penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa dengan curang telah menggunakan dokumen palsu iaitu borang permohonan pemasangan unifi lengkap atas nama seorang lelaki berusia 41 tahun untuk tuntutan komisen.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Sesapan Batu Minangkabau , Beranang dekat sini antara 2012 hingga 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Rozilah dalam penghakimannya memaklumkan perbuatan menipu adalah kesalahan yang sangat serius.

“Nilai yang dituntut ini bukan isu sebaliknya dan saya berharap hukuman dikenakan dapat memberikan pengajaran dan keinsafan,” ujarnya.

Khairunnas tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan berikutan menanggung isteri dan empat orang anaknya dan telah diberhentikan daripada syarikat tersebut sejak 2015.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman setimpal dikenakan berikutan melibatkan kepentingan awam dan memberi pengajaran kepada tertuduh. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed