by

Bekas pegawai kebudayaan SUK Perak terima rasuah didenda RM40,000

News Sources:

IPOH: Seorang bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak diarahkan membayar denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Herman Ibrahim, 46, juga berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan setelah Herman mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Pada prosiding tersebut, Indra Nehru turut mengarahkan tertuduh membayar RM45,000 kepada kerajaan Malaysia bagi pemulangan semula semua harta yang disita daripada tertuduh ketika operasi iaitu kedai dobi dan barangan kemas.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa bagi enam pertuduhan menerima suapan dengan jumlah keseluruhan RM257,600 antara November 2018 hingga Februari 2019.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di tempat dan waktu berbeza ketika dia bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun dilepaskan dan dibebaskan bagi empat pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, peguam Khairil Azwar Khalil yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan telah mengadakan Akuan Rundingan dan dipersetujui semua pihak mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin yang mengendalikan kes itu juga memaklumkan telah bersetuju dengan rundingan tersebut dan mengesahkan borang akuan berkenaan.

Selepas meneliti dan mengambil kira hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed