by

Bersatu pertahan kerjasama parti mendukung Kerajaan PN

News Sources:

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat keputusan terus mempertahankan kerjasama antara semua parti termasuk UMNO yang memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, kerjasama itu diteruskan dengan adil dan saksama bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang terdiri daripada semua lapisan agama, bangsa dan budaya.

“Sebagai parti yang mempelopori pembentukan kerajaan PN, Bersatu beriltizam untuk terus mempertahankan kerjasama politik yang telah dipersetujui bersama parti-parti dalam kerajaan PN dengan berpaksikan kepada agenda penyatuan ummah dan perpaduan seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Mesyuarat MPT Bersatu selama lebih tiga jam yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu pejabat Bersatu di Yayasan Selangor, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Wan Saiful menyeru semua pendukung kerajaan PN supaya menunjukkan usaha untuk mempertahankan kerjasama tersebut, sama seperti apa yang dilakukan oleh Bersatu.

“Bersatu menyeru supaya semua pihak menunjukkan keikhlasan dan menzahirkan kesungguhan melalui disiplin organisasi yang tinggi bagi memastikan kerjasama politik yang telah diwujudkan melalui PN dapat terus dihormati dan dipelihara.

“Dalam konteks parti PN, Bersatu akan terus
memperkukuhkan kerjasama politik bersama parti-parti anggota PN yang lain iaitu Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP),” katanya.

Justeru, beliau berkata, Bersatu tidak bersetuju jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan ketika rakyat masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan masalah banjir.

“Tindakan beberapa pihak yang terus menerus melakukan percaturan politik dalam keadaan rakyat sedang melalui dugaan besar adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya.

“Bersatu berpendirian bahawa pilihan raya umum hanya wajar dilaksanakan apabila perkembangan pendemik Covid-19 berada pada tahap yang lebih baik dan terkawal. Agenda utama Bersatu ketika ini adalah untuk menumpukan segala usaha serta tenaga bagi menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, kata beliau, Bersatu memutuskan untuk memberi fokus terhadap pembinaan kekuatan parti melalui amalan politik khidmat dan politik prihatin serta mengarahkan seluruh jentera parti untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk menganjurkan siri Jelajah Bersatu 2021 dalam masa terdekat untuk memberi penerangan berkenaan isu-isu semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed