by

Biri-biri ‘jangok’ jadi teman Nurul Syazwani

News Sources:

KOTA BHARU: Alah bisa tegal biasa. Lebam-lebam di tangan dan kaki akibat ditanduk haiwan ternakan sendiri tidak sesekali membuatkan Nurul Syazwani Mohd. Shamsuddin serik untuk menjadi seorang penternak.

Ini terbukti apabila gadis manis berusia 22 tahun itu langsung tidak kekok melayani seekor biri-biri yang cuba menyondol dan mahu bermanja ketika kunjungan Utusan Malaysia di rumahnya di Binjai, di sini baru-baru ini.

Setakat ini, Nurul Syazwani memiliki 40 ekor biri-biri baka ‘jangok’ atau cantik selain turut menternak lapan ekor lembu pelbagai baka.

KAMBING biri-biri jangok milik Nurul Syazwani.

Graduan Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Ungku Omar, Perak itu berkata, kesukaran mendapat kerja menyebabkan dia nekad untuk bergelar penternak sepenuh masa dan tidak pernah menyesal dengan pilihan itu.

“Saya berminat dengan biri-biri dan lembu sejak berusia 12 tahun lagi kerana sering membantu menjaga ternakan bapa, Mohd.Shamsuddin Mat Deris, 50, yang merupakan seorang guru,” katanya.

Bagi memastikan biri-biri peliharaannya kekal ‘jangok’, Nurul Syazwani mengakui agak teliti dan cerewet dalam aspek penjagaan haiwan tersebut.

“Setiap hari saya perlu keluar awal pagi untuk memberi makan rumput dan dedak kepada mereka. Selepas memberi makan, saya akan memandikan biri-biri menggunakan syampu khas supaya bulunya kekal cantik dan bersinar.

“Bulunya juga akan dipotong sama rata, selain dilumur minyak pada tanduk agar nampak lebih berkilat,” katanya.

Ketelitian dan sikap cerewet Nurul Syazwani itu berbaloi apabila biri-biri jangok miliknya pernah dinobatkan sebagai juara pertandingan biri-biri cantik anjuran Jabatan Pertanian negeri sebanyak lima kali.

“Setiap kali menang, rumah saya akan menjadi tumpuan ramai penternak dan penggemar biri-biri cantik yang ingin membuat tempahan baka.

“Tumulak, Sri Binjai, Bimor dan Mutar Ligak adalah antara nama biri-biri saya yang pernah menang pertandingan serta pelbagai anugerah biri-biri cantik. Bagaimanapun, Tumulak telah mati pada November tahun lalu,” katanya.

Syazwani membeli biri-birinya dengan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 seekor dari pembiak baka di seluruh negeri.

“Biri-biri yang ada sekarang kebanyakannya saya tidak jual kerana sayang. Jika mereka beranak, baru saya jual anaknya dengan harga antara RM500 hingga RM1,000 seekor.

“Setakat ini saya masih kekalkan harga tersebut biarpun harga makanan seperti dedak naik mendadak menyebabkan kos membela mereka semakin tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed