by

Buaya tembaga betina ditangkap bersama 45 telur

News Sources:

KUALA LANGAT: Suasana di Kampung Labohan Dagang, Banting di sini gempar apabila seekor buaya tembaga betina seberat 200 kilogram (kg) ditemukan sedang mengeram 45 telurnya.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu disedari beberapa orang awam yang terkejut melihat reptilia sepanjang tiga meter (m) berkenaan berada di sebuah kawasan parit.

TELUR buaya tembaga yang ditemui di sebuah parit di Kampung Labohan Dagang, Banting, Selangor, hari ini.

Pelik dengan keadaan itu, mereka segera bertindak menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut.        

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Langat, Kapten (PA) Riduan Nordin berkata, sepasukan enam pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 12.15 tengah hari.

“Pemeriksaan mendapati buaya ini masih sedang mengeram telurnya di kawasan parit berkenaan.

“Anggota kita kemudian menggunakan tali khas untuk menjerut mulut dan ekor reptilia tersebut lalu menangkapnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini  hari ini.

Jelas beliau, operasi berjalan dengan lancar dan memakan masa selama lebih 30 minit. Buaya ini juga dikatakan cuba bertindak agresif pada awalnya kerana mahu melindungi kesemua 45 telurnya.

“Namun, anggota kita berjaya mengawalnya dengan sebaik mungkin tanpa mengalami kecederaan.

“Buaya dan telur ini kemudian dibawa menggunakan lori ke Pejabat APM Daerah Kuala Langat. Reptilia tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Pelindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut esok,” katanya.

Tambahnya, buaya itu dipercayai datang dari Sungai Labohan yang berada kira-kira tiga kilometer (km) daripada lokasi kejadian.

“Kita percaya reptilia ini bertindak menyusuri parit berkenaan untuk mengeram telurnya,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed