by

Buli dalam kalangan doktor pelatih serius

News Sources:

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi berkaitan segera menangani isu buli dalam kalangan doktor yang berkhidmat dalam sektor awam. 

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ini kerana satu laporan mengejut mendedahkan 70 peratus doktor yang ditemu bual mengakui menjadi mangsa buli ketika berkhidmat dalam sektor awam sementara 17 peratus telah cuba membunuh diri. 

Menurut beliau, perkara itu tidak dapat diterima kerana menunjukkan betapa meluas dan teruknya budaya membuli yang berlaku. 

“Statistik ini membimbangkan kerana sekitar 75 peratus doktor yang memberikan maklum balas kepada satu kajian yang dilakukan oleh Doctors Only Bulletin Board System (DOBBS) mendakwa mereka semakin hilang minat untuk bekerja sementara 80 peratus yang lain berasa bimbang. 

“Oleh itu, CAP menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai kegusaran dan masalah yang dihadapi oleh golongan perubatan daripada doktor hinggalah kepada jururawat kerana terdapat laporan mengenai jururawat turut diganggu khususnya di hospital awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, baru-baru ini sesetengah doktor mengakui kepada pihak media mereka pernah dibuli manakala seorang doktor pula menyebut ada sebahagian doktor berhenti kerja kerana terlalu letih dan mengalami trauma. 

“Pengakuan sebegitu amat mengejutkan dan memperlihatkan sisi gelap profesion perubatan yang mana doktor sendiri menjadi mangsa amalan yang tidak sihat,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohideen berkata, CAP juga menggesa doktor muda  menggunakan talian bantuan Helpdoc untuk melaporkan sebarang gangguan dari rakan senior mereka. 

Jelas beliau, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia  (MMA), Mohamed Namazie Ibrahim sebelum ini pernah menyatakan Helpdoc yang diperkenalkan tahun lalu mendapat sambutan dingin sungguhpun tinjauan pendapat yang dilakukan oleh DOBBS menunjukkan hampir 80 peratus responden pernah menjadi mangsa buli. 

“Jurang di antara hasil tinjauan pendapat DOBBS dan sambutan agak dingin doktor yang melapor kepada Helpdoc adalah membimbangkan. 

“Ini menunjukkan doktor yang diganggu atau dibuli enggan tampil ke depan untuk membuat laporan mengenai senior mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed