by

Capai aspirasi perpaduan dalam tempoh 10 tahun – Muhyiddin

News Sources:

PUTRAJAYA: Sebuah Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030 yang bersifat inklusif, jelas dan kohesif digubal dengan menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggubalan dasar berkenaan adalah berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara selaras dengan dasar-dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar-dasar lain yang berkuat kuasa.

Menurut beliau, kerajaan menyedari hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara, maka ‘Perpaduan dalam kepelbagaian’ berteraskan ‘model integrasi’ dipilih sebagai konsep Dasar Perpaduan Negara sebagaimana yang dihasratkan untuk rakyat Malaysia. 

“Ini kerana berdasarkan sejarah, kita rakyat Malaysia telah menerima hakikat bahawa masyarakat negara ini adalah majmuk dan pelbagai latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa dan budaya. 

“Oleh kerana perbezaan dan kepelbagaian ini, maka usaha ke arah mewujudkan perpaduan di negara ini perlu dilengkapi dan dilandasi usaha integrasi berterusan,” katanya dalam ucapan perasmian Dasar Perpaduan Negara menerusi Live Facebook Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.

Muhyiddin berkata, strategi jangka panjang turut dirangka menerusi dasar itu yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat. 

Kata beliau, tiga objektif utama juga ditetapkan iaitu Mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta Membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling menghormati dan bertanggungjawab.

Katanya, satu lagi objektif ialah melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan objektif ini tercapai, sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya agen penggerak perpaduan yang terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan pemegang taruh berkaitan adalah sangat penting.

“Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perpaduan Negara ini adalah dasar kita bersama. Kita semua adalah agen perpaduan negara. 

“Kita yang akan membawa aspirasi ini ke hadapan. Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan dan kudrat kita untuk terus menyebarkan semangat perpaduan dalam keadaan yang amat mencabar pada masa ini,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed