by

Covid-19: Kita semakin selamba – Utusan Digital

News Sources:

Siapa masih peduli statistik kes harian Covid-19 di negara ini? Paling tidak pun di negeri tempat mereka tinggal dan bekerja? Ya, saya masih mengikuti dengan rasa bimbang. Ada beberapa ketika kita hampir mencapai 3,000 kes sehari.
Di Selangor saja, seingat saya ada hari negeri ini mencecah hampir 2,000 kes sehari. Keseluruhannya, Malaysia kini telah melepasi 100,000 kes!
Sedar atau tidak, negara kecil Malaysia ini sudah masuk antara kelompok 30 negara di dunia ini tertinggi kes Covid-19!
Masih ingatkah beberapa bulan lalu, negara ini pernah dipuji di peringkat antarabangsa kerana berjaya menangani pandemik ini. Malaysia dikata cukup efisien dan banyak negara mahu mencontohi kita.
Tetapi itulah, pantang kena puji sedikit, cepat bangga semacam. Mula lalai dan anggap pandemik ini sesuatu yang tidaklah susah sangat untuk disekat. Kasihan warga kerja Kementerian Kesihatan, belum habis letih gelombang pertama kini terpaksa meredah entah berapa lagi gelombang.
Dan tak tahu lah sama ada ini sisi positif atau negatif, kerana ramai sekeliling kita yang nampak seperti tidak ada apa-apa yang merisaukan berlaku ketika ini. Sudah selamba saja. Saya agak angka ribuan kes setiap hari itu bagaikan tidak menggerunkan lagi.
Dulu, apabila mencecah 50 kes pun kita sudah panik. Ramai mendesak kerajaan adakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan minta sekolah ditutup kerana risau melepaskan anak-anak keluar.
Sekarang dalam kita sudah melepasi 100,000 kes, kita boleh lihat sudah ramai selamba saja berhimpit-himpit beratur masuk ke pusat pelancongan, pusat beli-belah, mengadakan kenduri kahwin dan jamuan, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ke laut. Anak-anak pula dijadikan alasan untuk mereka keluar.
Bila kita bercakap mengenai duduk rumah saja jika tidak ada yang penting di luar, ramai yang `kaki merayap’ dan `kaki jalan’ tidak senang dengan nasihat ini. Tak akan nak duduk rumah saja? Berapa lama nak berkurung? Anak-anak mahu juga keluar makan angin. Bercuti. Ya kah anak yang mendesak? Bukan emak bapa sebenarnya ‘terkinja-kinja’ mahu bercuti?
Khamis lalu saya mengambil kereta Grab pulang ke rumah dari pejabat. Pemandunya seorang lelaki berketurunan India. Nampak ranggi. Memakai subang di telinga dan berantai leher. Di sebelah tempat duduknya penuh dengan susu dan lampin pakai buang yang baru dibeli.
Katanya, siapa tak sayang anak bolehlah bawa anak berjalan-jalan. Dia cukup risau mahu membawa anaknya yang baru berusia tiga tahun ke mana-mana. Demi sayangnya pada anak, biarlah anaknya bermain di rumah. Nanti keadaan sudah reda, baru dia berani membawa anaknya bersiar-siar.
Rakyat kita banyak duit, katanya. Dalam bising-bising susah hendak mengeluarkan duit sendiri dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ramai pula boleh berdedai bercuti sehingga kebanyakan hotel penuh ketika ini.
Ya betul, kerajaan membenarkan rentas negeri, membuka pusat beli belah dan kawasan pelancongan, ini untuk menjana ekonomi. Jika ekonomi negara teruk, semua rakyat pun susah. Tapi kena ikut SOP lah. Kini rakyat yang kena menjaga diri sendiri dan keluarga serta elakkan mencipta lagi kluster-kluster baru untuk tidak terus memburukkan lagi keadaan.
Seorang kawan sekerja yang baru balik bercuti memberitahu, dia pergi memenuhi undangan perkahwinan di Melaka baru-baru ini. Mana ada SOP, katanya. Ramai tetamu datang. Duduk dekat-dekat. Bersalaman dan berpelukan.
Begitulah kebanyakan rakyat kita. Bila sudah diberi kelonggaran, semuanya lupa hingga tak sedar terlucut terus.
Tahun 2021, apalah nasib kita? Covid-19 di negara ini tiada tanda reda. Ramai sudah selamba dan malas lagi fikir tentang SOP. Ramai juga sudah boros berbelanja dengan kemudahan moratorium dan bantuan khas yang sepatutnya digunakan pada perkara yang perlu.
Tapi ada juga bijak mengatur pelan luar jangka. Kita jaga kita itu satu hal, simpan duit itu pun satu hal. Hakikatnya, penyakit dan duit saling berkait. Kalau tiada duit, yang sihat pun boleh sakit. Betul tak? – Ahad dah ke?, Mingguan Malaysia





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed