by

Covid-19 tingkat penyakit mental, kemurungan

News Sources:

SAUDARA PENGARANG,

PENYAKIT mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua paling serius selepas penyakit jantung bagi rakyat Malaysia pada tahun ini. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) terkini, tiga daripada setiap 10 orang dewasa berusia 16 tahun dan ke atas di negara ini akan menderita masalah kesihatan mental.

Isu ini menjadi kian meruncing apabila talian telefon yang disediakan oleh Mercy Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) bagi mereka yang terjejas dengan Covid-19 menunjukkan 46.8 peratus panggilan adalah daripada individu yang mempunyai masalah psikologi.

Walaupun tujuan sekatan pergerakan adalah untuk melindungi rakyat daripada jangkitan, tetapi ia secara tidak sengaja membawa risiko memburukkan lagi kesihatan mental.

Banyak perniagaan yang dikira tidak penting perlu berhenti operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu menyebabkan ramai diberhentikan kerja. Orang yang menganggur akan berasa tidak yakin dan selamat, yang akhirnya menjejas kesihatan mental mereka dan menyebabkan kemurungan.

Selain itu, PKP juga memberi impak negatif kepada mereka yang menghidap penyakit mental teruk. Disebabkan kebimbangan diserang virus, penyakit mental mereka berisiko tinggi untuk berulang lagi.

PKP juga memaksa orang ramai mematuhi penjarakan fizikal, justeru mereka perlu tinggal di rumah dalam tempoh lebih panjang. Sekiranya seseorang sudah hidup dalam persekitaran rumah yang toksik, menghabiskan lebih banyak masa di rumah boleh membawa kepada tekanan hidup yang akan menyebabkan masalah kesihatan mental.

Tambahan pula, tinjauan syarikat penyelidik, YouGov Omnibus pada 2019 menunjukkan lebih 36 peratus wanita Malaysia mengalami gangguan seksual yang sering mencetuskan kegelisahan, kemurungan dan tekanan pasca trauma (PTSD).

Satu kajian yang diterbitkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati golongan berpendapatan rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental dan penyakit kronik lebih tinggi.

Trend serupa juga diperoleh menerusi data kajian beberapa pihak lain yang mendapati golongan berpendapatan rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental tertinggi dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

Individu yang berasa tertekan disarankan mendapatkan tidur cukup, sentiasa mengambil bahagian dalam aktiviti sukan, makan makanan berkhasiat, mengelak merokok dan penyalahgunaan dadah. Kurangkan melayari media sosial bagi mengalihkan perhatian daripada pemikiran negatif yang dapat menyebabkan kemurungan.

Dalam kita berdepan pelbagai masalah, tumpuan harus diberi kepada apa yang boleh kita ubah, menerima apa yang kita tidak boleh mengawal dan kekal positif sepanjang masa.

Sementara itu, majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kesihatan mental pekerja mereka adalah seimbang kerana kebanyakan orang menghabiskan satu pertiga hari di pejabat.

Majikan boleh memberikan sokongan dengan membenarkan percutian, menyokong aktiviti sosial maya dan menggalakkan keseimbangan kerja-kehidupan.

Mereka juga harus mewujudkan persekitaran bekerja yang sihat dan menyediakan khidmat kaunseling untuk pekerja mereka membincangkan sebarang masalah dan menyelesaikannya.

JAMARI MOHTAR & TAM MEI SI
Penyelidik di EMIR Research





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed