by

Demokrasi AS ‘calar-balar’

News Sources:

WASHINGTON: Semalam menjadi hari paling bersejarah dalam politik Amerika Syarikat (AS) apabila pertikaian keputusan pilihan raya presiden tiba ke kemuncaknya selepas penyokong Presiden Donald Trump merusuh dan menyerbu bangunan Capitol.

Ketika kejadian, barisan pemimpin dari Demokrat dan Republikan dalam sesi mengesahkan kemenangan Joe Biden sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden AS baharu pada 20 Januari ini.

Berikut kronologi ‘hari paling kecoh di AS’:

 

Trump berucap

Selepas pukul 11 pagi waktu tempatan, Trump naik ke pentas dalam satu perhimpunan di taman Ellipse bagi menyampaikan ucapan kepada para penyokongnya supaya jangan mengalah.

Beliau berulang kali meminta Timbalan Presiden AS, Mike Pence menolak sesi mengesahkan kemenangan Biden di Kongres.

Sejumlah ahli Republikan sudah pun berikrar untuk menolak sesi tersebut, menyaksikan Trump serta penyokongnya melihat langkah itu sebagai usaha terakhir mereka untuk mengekalkan kedudukan sebagai presiden.

 

Kongres bakal sahkan kemenangan Biden

Barisan pemimpin dari kedua-dua parti mengadakan sesi mengesahkan kemenangan Biden dalam pilihan raya presiden lepas, sekali gus mengangkat beliau sebagai pemimpin baharu AS.

Namun, sesi itu mendapat bantahan daripada penyokong Trump dan ketika presiden itu masih berada di atas pentas, para penyokongnya berarak ke bangunan Capitol.

 

Penyokong Trump serbu Capitol

Ketika sesi itu berlangsung, Arizona menjadi negeri pertama yang menolak pengesahan tersebut, menyebabkan perdebatan berlaku. 

Tidak lama kemudian, kumpulan penyokong Trump tiba di perkarangan bangunan Capitol sebelum merempuh masuk dan melakukan rusuhan.

Beberapa gambar yang disiarkan menunjukkan anggota polis lengkap bersenjata bertempur dengan perusuh yang memecahkan tingkap bangunan.

Ahli politik yang terkejut dengan situasi itu berlindung di bawah kerusi dan datuk bandar Washington mengumumkan perintah berkurung.

 

Semua pihak minta bertenang

Trump menerusi Twitternya menggesa agar rusuhan dihentikan dan melakukan protes secara aman.

Beberapa minit kemudian, keluar satu laporan mengenai seorang wanita ditembak dalam Capitol sebelum disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Pence juga mendesak supaya rusuhan ganas itu dihentikan segera dan kejadian yang berlaku mendapat perhatian pemimpin di seluruh dunia.

 

Biden bersuara

Melalui ucapan siaran langsung di televisyen, Biden menyifatkan rusuhan yang berlaku sebagai ‘pemberontakan’.

“Saya gesa supaya Presiden Donald Trump secara langsung mendesak supaya rusuhan ganas ini dihentikan segera.

“Menyerbu Capitol, memecahkan tingkap, mengepung dewan Kongres, mengancam keselamatan ahli politik? Ini bukan tunjuk perasaan, sebaliknya adalah satu pemberontakan,” tegas Biden.

 

Reaksi Trump

Beberapa minit selepas Biden berucap, Trump memuat naik satu video dalam Twitter yang meminta para penyokongnya ‘pulang ke rumah’ dan berulang kali memaklumkan kemenangannya dalam pilihan raya presiden sudah dicuri sebelum mengungkapkan ayat ‘saya sayang kamu’.

“Saya tahu penderitaan anda. Kita adakan pilihan raya dan keputusannya dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Namun, ada perlu pulang ke rumah sekarang. Kita perlu kekalkan keamanan. Kita ada undang-undang yang harus dipatuhi,” katanya dalam video yang  berdurasi satu minit.

 

Polis anti rusuhan suraikan keadaan

Selepas Twitter dan Facebook menyekat akaun Trump, polis anti rusuhan ‘merampas semula’ Capitol dan menyuraikan keadaan.

Polis juga menggunakan gas pemedih mata bagi menghentikan tindakan ganas perusuh.

Sehingga pukul 6 petang waktu tempatan, ribuan penyokong Trump masih berkumpul di perkarangan Capitol.

 

Kongres sahkan kemenangan Biden

Kongres mengesahkan Biden sebagai pemenang dalam pilihan raya presiden yang lalu, sekali gus memberi jalan kepada pemimpin Demokrat itu untuk mengangkat sumpah sebagai Presiden AS yang ke-46 pada 20 Januari ini.

Trump pula akur dengan keputusan tersebut dan memaklumkan ‘akan berlaku peralihan secara teratur tidak lama lagi’.

 

Demokrat kuasai Senat

Demokrat berjaya menguasai Senat AS apabila memenangi pilihan raya di Georgia sekali gus memberi tamparan hebat kepada Republikan pimpinan Trump.

Kekalahan Republikan di Georgia itu disahkan selepas Jon Ossoff diisytiharkan sebagai pemenang dalam pemilihan Senat, ketika penyokong Trump melakukan rusuhan keganasan di bangunan Capitol. – AFP

 

 

 

The post Demokrasi AS ‘calar-balar’ appeared first on Utusan Digital.



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed